Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Surat, Datuk Seri Syed Sis Syed Abdul Rahman bercakap kepada MalaysiaGazette di di Pusat Khidmat Wakil Rakyat, Kompleks Penghulu Mukim Pantai Timur, Pengerang hari ini. Foto: NIZAM ZAIN

PENGERANG – Calon Barisan Nasional (BN), Aznan Tamin yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat sepatutnya boleh memperoleh majoriti lebih tinggi berbanding pilihan raya umum 2018.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Datuk Seri Syed Sis Syed Abdul Rahman berkata, peratusan keluar mengundi rendah hingga 54.92 peratus menghalang Aznan untuk memperoleh majoriti lebih tinggi.

“Kalau ikutkan, sepatutnya lebih lagi (majoriti) sebab sekarang ada 25,132 pengundi berbanding 18,989 pengundi semasa saya bertanding di kerusi Tanjung Surat pada 2018.

“Tetapi peratusan keluar mengundi pula sangat rendah 54.92 peratus, PRN Melaka lagi tinggi dengan 65.85 peratus, PRN Johor pula lebih rendah,” katanya kepada MalaysiaGazette di Pusat Khidmat Wakil Rakyat, Kompleks Penghulu Mukim Pantai Timur hari ini.

Terdahulu, Aznan, 37, berjaya mempertahankan kubu kuat BN di kerusi N39 Tanjung Surat selepas memperoleh majoriti 5,903 dalam PRN Johor, semalam.

Aznan yang mendapat 9,850 undi berjaya menewaskan tiga pencabarnya iaitu calon Pejuang, Samat Atan (110), calon PKR, Rosman Tahir (800) dan calon Perikatan Nasional (PN), Cikgu Selamat Ujud (3,947).

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Shamsul Ariff Sulaiman Tanjung Surat dalam satu majlis pengumuman di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai, di sini, malam tadi.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada Mac 2018, DUN Tanjung Surat yang ditandingi calon BN, Syed Sis menang dengan majoriti 4,522 undi.

Syed Sis yang memperoleh 9,614 undi menewaskan pencabarnya daripada PKR, Zamil Najwah Arbain dengan 5,092 undi dengan pertandingan dua penjuru.

Dalam pada itu, Syed Sis berkata, majoriti undi yang diperleh Aznan tidak boleh dibandingkan ketika beliau bertanding pada 2018 kerana jumlah pengundi dan keadaan jauh berbeza.

“Ada pengundi Johor di Kuala Lumpur tak nak balik. Saya dengar macam-macam, jadi nak buat perbandingan itu payahlah melainkan undi sama, keadaan sama, tiada kes-kes yang menakutkan macam 1MDB.

“Pada 2018, majoriti undi yang saya dapat ketika itu berkurangan kerana kes 1MDB, ramai orang percaya 1MDB, semua nak buang kerajaan (BN), semua orang berazam, orang tak kisah calon lagi.

“Kalau (PRN Johor) macam 2013 tidak ada isu besar, mungkin boleh banding, isu 1MDB mana-mana kawasan (BN) pun teruk, jadi tak boleh banding macam itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette