Fizi Ali

KUALA LUMPUR – Penyampai radio Suria FM, Fizi Ali menafikan sudah bertemu pengganti bekas isterinya, Shakilla Khoriri ekoran videonya bersama seorang wanita bertudung tular dalam aplikasi TikTok baru-baru ini.

Jelas Fizi, beliau dan Cyidashahida mengenali antara satu sama lain atas sebab kerjasama yang dijalinkan untuk produk kecantikan.

Namun, katanya, hubungan mereka tidak lebih sekadar kawan dan hanya akan berhubung bagi tujuan kerja bukanlah bermesej dan membuat panggilan video seperti pasangan bercinta setiap hari.

“Kami sudah biasa bekerjasama. Shahida bekerja dengan sebuah syarikat barangan kecantikan namun sudah beberapa kali syarikat tempatnya bekerja mengundang saya ke majlis mereka.

“Shahida akan menguruskan semua urusan membabitkan saya, jadi sememangnya saling mengenali.

“Soal video, Shahida hanya ingin main-main sahaja tetapi tidak sangka pula video ini menjadi tular sehingga pelbagai reaksi yang diterima,” katanya.

Terdahulu, Fizi dan Shakilla mendirikan rumah tangga pada 18 Februari 2018 namun hubungan terlerai selepas bercerai pada 15 Disember tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Ameena Sofia yang kini berusia dua tahun.

Mengulas dakwaan mengatakannya terlalu cepat move on, Fizi atau nama sebenarnya, Mohd Hafizudin Alimudin menambah, selepas tiga bulan bercerai tidak salah untuk dirinya kini berada di fasa berkenaan.

“Bagi saya, apa pun yang dilakukan, kita kenalah move on. Takkanlah, hendak bersedih 24 jam sehari.

“Tidak kisahlah, saya atau bekas isteri, jika masing-masing sudah ada pasangan lain, tidak sepatutnya kami dikecam. Lagi pun benda sudah lama, jadi kenalah move on.

“Seandainya kami dijodohkan semula, saya terima dan jika dijodohkan dengan pasangan lain, saya terima.

“Setakat ini, saya tidak menjalinkan hubungan dengan sesiapa pun. Namun, tidak tahu ada kala kita sibuk mencari jodoh sampai ke hujung dunia namun, jodoh ada depan mata,” tambahnya.-MalaysiaGazette