Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Kompleks Rakan Muda Bera, Pahang hari ini.

KUALA LUMPUR – Golongan belia mencatatkan kes kematian tertinggi akibat kemalangan jalan raya iaitu secara purata 7,077 kes yang mencecah hampir 50 peratus bagi tahun 2019 hingga 2021.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, statistik ini menunjukkan golongan muda lebih terdedah dengan risiko kemalangan jalan raya.

Menurut beliau, dalam tempoh yang sama, secara purata sebanyak 4,769 nyawa terkorban di jalan raya setiap tahun.

“Berdasarkan Aspirasi Malaysia, kerajaan berhasrat mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus, menjelang tahun 2030.

“Nahas jalan raya merupakan antara penyebab kematian utama di negara ini, bagi tahun 2019 hingga 2021, jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya adalah sebanyak 14,308 kes,” katanya ketika menyampaikan ucapan Pelancaran Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Kompleks Rakan Muda Bera, Pahang hari ini.

Kata Ismail Sabri, perkara itu sudah tentu menjadi cabaran utama pihak penguat kuasa untuk membendungnya kemalangan jalan raya dalam negara.

Sehubungan itu Ismail Sabri mengingatkan penerima BLKM supaya menjadi pengguna jalan raya yang berdisiplin, berhemah dan mematuhi segala peraturan dan undang-undang jalan raya, agar tidak menjadi sebahagian daripada statistik kadar kemalangan jalan raya di negara ini.

Seramai 404 penduduk Orang Asli di Bera mendapat Bantuan Lesen Memandu Motosikal (Lesen B2) selepas berjaya memenuhi semua kriteria yang ditetapkan menerusi BLKM.

Menerusi Program BLKM ini, seramai 404 penduduk Orang Asli di Bera, mendapat Bantuan Lesen Memandu Motosikal (Lesen B2) selepas berjaya memenuhi semua kriteria yang ditetapkan.

Ismail Sabri berkata, bantuan ini membolehkan masyarakat luar bandar khasnya penduduk Orang Asli di Bera, menarik nafas
lega dalam mengharungi kehidupan harian yang semakin mencabar.

“Dengan pemilikan lesen kelas B2 ini, golongan berkenaan dapat meningkatkan peluang mendapatkan pekerjaan dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi selain mengukuhkan pasaran tenaga kerja negara.” tambahnya.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bera yakin bantuan berkenaan akan dapat memberikan manfaat daripada segi penciptaan pekerjaan dalam kalangan masyarakat B40 sekali gus memperkasa pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia.

“Bagi Keluarga Malaysia yang masih menganggur dan mencari peluang pendapatan baharu, diharapkan BLKM ini dapat memudahkan segala urusan harian, meningkatkan sosioekonomi dan mengatasi masalah ketiadaan lesen memandu, dalam kalangan golongan B40,” ujar Ismail Sabri. – MalaysiaGazette