Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad bercakap ketika meraikan kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di BN Command Center, Johor Bahru. Foto AMIRUL SHAUFIQ 12 MAC 2022

JOHOR BAHRU – Datuk Hasni Mohammad yang akan menerajui Kerajaan Negeri Johor mengajak seluruh rakyat negeri itu untuk bersama-samannya menjaga, memakmur dan memajukan Johor Darul Ta’zim.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional Johor berkata, tiada ideologi politik, ahli politik dan parti politik yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada negeri ini.

”Semua rakyat Johorr, mereka yang telah menyokong Barisan Nasional, mahupun mereka yang tidak, marilah bersama saya. Marilah bersama kita menjaga, memakmur dan memajukan rumah kita, Johor Darul Ta’zim.

“Kini merupakan masa kita untuk bersama-sama membina Johor yang lebih makmur,” dalam ucapan pertamanya selepas Barisan Nasional diumumkan memenangi pilihan raya negeri.

Menurut beliau, semalam rakyat Johor telah meraikan demokrasi dan melunaskan hak mereka sebagai warganegara dengan memilih kestabilan masa masa depan.

”Rakyat Johor telah sebulat suara memilih Barisan Nasional Johor menjamin kemakmuran rumah kita, iaitu Johor Darul Ta’zim.

”Dalam tempoh berkempen ini, jentera Barisan Nasional dari seluruh pelosok negara telah berkumpul dan memerah keringat untuk memenangkan Barisan Nasional. Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan.

”Sesungguhnya kemenangan Barisan Nasional di Johor ialah kemenangan anda semua. Hanya Allah S.W.T sahaja yang dapat membalas setiap titik peluh anda,” ujarnya lagi.

Hasni berkata, beliau sedar bahawa dengan amanah besar untuk menerajui negeri ini, rakyat Johor mahukan kemakmuran kerana amat penat dengan ketidakstabilan ekonomi dan politik yang melampau.

Rakyat mahukan kerajaan negeri yang lebih responsif, lebih fokus dan lebih komited untuk menjaga dan memimpin mereka.

”Yakinlah, yang demikian merupakan hasrat saya. Dengan mandat daripada anda semua, kerajaan negeri akan terus memajukan ekonomi, membela yang lemah dan memperkasa golongan belia.

“Kita akan mereformasi pentadbiran negeri dan membudayakan naratif politik baharu di Johor. Insya Allah, Ikhtiar BN Johor pula akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dari Belanjawan Johor 2023 dan seterusnya. Itu lah komitmen kita,” ikar beliau. – MalaysiaGazette