Pandak Ahmad meneruskan aktiviti santuni pengundi pada hari ini di sekitsr kawasan Gelang Patah.

ISKANDAR PUTERI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar daripada Barisan Nasional (BN) hari ini tetap meneruskan rutin hariannya menyantuni penduduk di kawasannya.

Pendekatan yang sama diteruskan dan bukan sekadar pada waktu berkempen sahaja.

Pagi ini, Pandak Ahmad dilihat menemui penduduk di sekitar kawasan Kota Iskandar di Arked Mara Gelang Patah dengan bersarapan bersama mereka.

Selain itu, beliau juga mudah didekati pengundi di kawasan berkenaan dan menerima ucapan tahniah daripada orang ramai di situ.

Jelas Pandak, aktiviti seumpama ini merupakan rutinnya sebelum berkempen lagi.

“Sebetulnya sebelum-sebelum ini memang saya akan ke sini, bila waktu berkempen lagi kerap saya ke sini untuk berjumpa dengan orang ramai.

“Jadi semalam bila saya dah menang, pagi ini memang niat saya mahu singgah ke sinilah jumpa pengundi-pengundi saya,”katanya ketika ditemui hari ini.

Difahamkan Pandak Ahmad juga akan meneruskan aktiviti sama seperti waktu berkempen dengan menyantuni rakyat setempat.

“Pukul 2 petang ini, Insya-Allah saya akan ziarah Orang Asli yang meninggal dunia di kawasan saya kerana beliau juga merupakan jentera parti.

“Pada sebelah petang selepas solat Zohor mungkin saya akan melawat dan sampaikan bantuan kepada seorang pesakit terlantar. Sebab masa berkempen kita tidak dapat bantu kerana ikut SOP. Insya-Allah hari ini saya akan turun bantu beliau,” katanya.

Barisan Nasional (BN) menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar dengan majoriti melebihi 4,000 undi.

Calon BN, Pandak mengatasi Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad yang juga calon Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 4,061 undi.-MalaysiaGazette