Rashidah Ramli

BATU PAHAT – Rakyat Johor disifatkan bijaksana kerana memilih kestabilan untuk masa depan mereka ketika membuat keputusan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Rashidah Ramli berkata, kestabilan penting kerana hanya dengan itu segala yang diharapkan mudah untuk dilaksana.

“Sebenarnya apabila melalui PRU-14, kita lebih berhati-hati. Kita tidak mahu meletakkan satu harapan yang terlalu tinggi atau pun selesa tetapi kita meletak satu anggaran boleh menang-menang.

“Bagaimanapun, realitinya rakyat Johor memang bijaksana kerana memilih kestabilan masa depan untuk menjamin masa depan mereka,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Rashidah berterima kasih kepada para pengundi di kawasan DUN Parit Raja kerana telah memberikannya peluang untuk terus berkhidmat kepada mereka.

Beliau yakin harapan rakyat amat tinggi kepadanya untuk terus melaksnakan tugasan sebagai wakil rakyat wanita serta memenuhi aspirasi dan keperluan mereka sentiasa terbela dan terjaga.

Ketika ditanya mengenai penerimaan pengundi terhadap calon wanita  BN pada PRN Johor sehingga berjaya memenangi semua kerusi yang ditandingi, Rashidah berkata, masyarakat berharap agar sentuhan kaum Hawa dapat memberikan perkhidmatan kepada mereka.

Katanya, wanita mampu bersaing dan boleh memberikan perkhidmatan sama seperti kaum lelaki dan ia mungkin lebih baik.

“Sebab itu saya meletakkan keyakinan walaupun di kawasan mereka (wanita) yang bertanding adalah lelaki tetapi rakyat tidak ada rasa ragu atau was-was untuk memberikan undi kepada calon-calon wanita ini,” ujarnya.

BN sebelum ini meletakkan Rashidah di DUN berkenaan bagi berdepan saingan empat penjuru termasuk calon daripada Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Fikri Musa, Zulkifli Mat Daud (Perikatan Nasional) dan Lateef Mahrani (Parti Pejuang Tanahair).

Rashidah menang dengan majoriti 4,219 berbanding pada PRU-14 lalu yang hanya memperoleh 638 undi. – MalaysiaGazette