Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang besar semalam adalah satu manifestasi rakyat yang kecewa dengan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana gagal mengemudi negeri-negeri dan negara dengan baik.

Lantaran itu kemenangan BN memang sudah dijangka cuma tidak disangka komponen parti itu meraih majoriti yang cukup besar.

Penganalisis politik, Dr Jeniri Amir berkata, biar pun pelbagai faktor boleh dikaitkan dengan kemenangan tersebut namun aspek yang paling ketara ialah rakyat mahukan kestabilan negara seperti yang dinikmati mereka semasa Kerajaan Persekutuan diterajui oleh BN sebelum tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

 

Prof Madya Dr Jeniri Amir
Dr Jeniri Amir

“Pengalaman 22 bulan di bawah PH menyaksikan betapa ketidakstabilan negara dalam sekelip mata. Begitu juga dengan kucar-kacir negara di bawah pentadbiran yang diterajui oleh PN. Rakyat menyaksikan bagaimana keadaan negara bagai telur di hujung tanduk. Rakyat dapat membezakan betapa sukarnya ekonomi negara berkembang dalam tempoh-tempoh tersebut.

“Jadi kemenangan BN adalah keputusan rakyat yang mahukan kestabilan dan kemakmuran negara dikembalikan agar ekonomi Malaysia terus dipacu dengan baik dan kembali menjadi pilihan pelabur-pelabur asing,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Oleh itu, tambah Jeniri, parti-parti pesaing BN boleh menilai sendiri prestasi masing-masing di mata rakyat sekarang.

“Bukan salah sesiapa tetapi hukuman atas pemerintahan 22 bulan dan 17 bulan,” ujarnya sambil menambah kestabilan politik di Sarawak dan Melaka turut dijadikan kayu pengukur rakyat terhadap parti-parti lain.

Dalam pada itu. Jeniri berkata, kekalahan teruk Parti Pejuang Tanahair(Pejuang) memberi petunjuk bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad bukan lagi ahli politik yang berpengaruh di negara ini.

Kekalahan Pejuang bukan kerana ia parti baharu kerana pemimpin-pemimpinnya terdiri daripada mereka yang dikenali.

Cuma populariti Dr. Mahathir yang merudum.

“Pada saya rakyat menolak Dr. Mahathir mahu pun Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana tidak dapat menerima naratif sama yang digunakan oleh mereka dalam PRU-14. Permainan persepsi tidak sama.

“Disebabkan itu, tiada kesan langsung serangan-serangan mereka terhadap Datuk Seri Najib Razak, ditambah-tambah lagi dengan bahasa yang kasar, tidak mencerminkan nilai-nilai murni sebagai pemimpin.

“Sebaliknya, rakyat melihat mereka seakan tidak ada keseriusan dalam mentadbir negara kecuali politik dendam berbeza dengan kehendak rakyat yang mahu kestabilan negara,” tambah Jeniri. – MalaysiaGazette