IPOH  – Bank Rakyat memilih konsep ‘Rindunya Ramadan’ dan ‘Rindu Nak Raya’ untuk kempen Ramadan dan Aidilfitri tahun ini bagi menyemarakkan lagi semangat seluruh ‘Keluarga Malaysia’ menyambut bulan Ramadan dan Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi/Menanggung Tugs Ketua Pengurusan Pengalaman Pelanggan Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, setelah dua tahun beraya di perantauan dalam suasana perintah kawalan pergerakan, ramai yang berharap agar tahun ini mereka dapat bersama-sama keluarga menjalani ibadah puasa tanpa sekatan dan meraikan sambutan Aidilfitri di kampung halaman masing-masing.

Justeru, beliau berkata, konsep ini amat bersesuaian dengan situasi COVID-19 yang melanda negara ketika ini dan diharap dapat memberi manfaat di samping berkongsi kegembiraan bersama pelanggan termasuk masyarakat secara menyeluruh menerusi pelbagai inisiatif yang dirancang sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.

Menerusi inisiatif ‘Rindunya Ramadan’, pelbagai aktiviti Jangkauan Komuniti bakal dilaksanakan. Antaranya, program pengimarahan bulan Ramadan di saluran media seperti tazkirah Ramadan, aktiviti gotong-royong seperti memasak dan mengedar bubur lambuk serta berbuka puasa di masjid dan surau.

Bank Rakyat juga akan menyumbangkan ‘Kit Kebajikan Jelajah Ramadan’ kepada golongan asnaf dan B40 terpilih di seluruh negara serta naskhah al-Quran kepada masjid dan surau.

Sementara itu, Nizam berkata, selepas ‘Raya Tetap Raya’ arahan sulung Allahyarham Mamat Khalid dinobatkan dalam kalangan 10 tempat teratas bagi iklan komersial Aidilfitri oleh Marketing Magazine pada 2021, Bank Rakyat terus bersemangat untuk menyemarakkan sambutan Syawal tahun in dengan menerbitkan sebuah lagi iklan komersil Aidilfitri.

“Dengan mengambil ilham untuk merasai kembali suasana ‘Rindu Nak Raya’ setelah dikurung oleh wabak COVID-19 beberapa tahun sebelum ini, iklan komersil ini bakal mencuit hati serta mengimbau nostalgia masa lalu di samping memandang sambutan Syawal pada tahun ini dengan penuh keterujaan,” ujar beliau.

Menerusi kempen ‘Rindu Nak Raya’ pula, pelanggan bakal menikmati pelbagai hadiah dan tawaran istimewa.

Antaranya, pemegang Kad Debit-i dan Kad Kredit-i Bank Rakyat
yang membuat 200 transaksi dalam talian terawal sepanjang tempoh kempen bermula 15 Mac 2022 sehingga 31 Mei 2022 untuk pembayaran perkhidmatan pengangkutan akan mendapat pulangan tuna sebanyak RM100.

Manakala, 10 orang pelajar yang membeli tiket perjalanan menggunakan Kad Debit-i atau Kad Kredit-i Bank Rakyat dari 1 April 2022 sehingga 31 Mei 2022 juga akan berpeluang mendapatkan baucar KTM selama setahun bernilai RM1.000.

Di samping itu, pemegang Kad Kredit-i yang membuat transaksi minimum RM50 bagi pembelian petrol dari 30 April 2022 sehingga 4 Mei 2022 berpeluang mendapatkan pulangan tunai 10%.

Pemegang Kad Kredit-i yang membuat transaksi minimum RM100
bagi pembelian barangan runcit dalam tempoh tersebut juga akan menerima pulangan tunai 10%.

Lebih menarik lagi, Bank Rakyat turut bakal menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai berjumlah RM106,500 kepada 220 orang pemenang bertuah yang melanggan produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Kenderaan-i dan Pembiayaan Perumahan-i sepanjang tempoh kempen bermula 3 April 2022 sehingga 30 Jun 2022.

Selain itu, pelanggan yang melakukan transaksi duit raya terbanyak menggunakan iRakyat dari 1 Mei 2022 sehingga 31 Mei 2022 juga akan berpeluang memenangi hadiah keseluruhan berjumlah RM29,000.

Belau berkata demikian kepada wakil media yang menyertai sesi bersama media bagi promosi kempen Ramadan dan Syawal tahun ini.

Mereka turut dibawa menaiki tren elektrik ETS atau Electric Train System dari KL Sentral ke Ipoh untuk menghadiri sesi makan malam bersama media dari Kuala Lumpur dan Ipoh di Hotel Impiana Ipoh.

Program tersebut yang diadakan dengan kerjasama Keretapi Tana Melayu Berhad (KTMB) dan Hotel Impiana Ipoh adalah sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media yang telah memberikan sokongan positif dalam membuat liputan berita melibatkan pencapaian dan aktiviti Bank Rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast