Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 14 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor dijangka menjadi topik hangat pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang dijadualkan bermula pada Rabu ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia bukannya untuk parti itu berbangga, sebaliknya menjelaskan bahawa kemenangan BN adalah berdasarkan sistem demokrasi yang berasaskan pengundian secara adil.

“Semangat kemenangan dan kesyukuran di PRN Melaka dan Johor sudah tentu akan memanaskan suasana sebab ada yang buat analisis di luar mengatakan sebenarnya UMNO tidak menang dari segi undi popular.

“Kita nak nyatakan bahawa sistem demokrasi di Malaysia bukan menggunakan undi popular tapi sesiapa yang sampai ke garisan kemenangan dia lah dinobat iaitu ‘1st past the post’

“Tidak boleh dicampur undi Pakatan Harapan, Perikatan Nasional (BN), Pejuang, Bebas, lawan undi BN itu tidak betul bukan itu kaedah di Malaysia. Jumlah pengundi yang keluar mengundi di setiap Dewan Undangan negeri (DUN) jika mendapat majoriti undi, maka menanglah DUN itu,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media berkenaan PAU UMNO 2021 yang akan berlangsung pada 16 hingga 19 Mac ini.

Sehubungan itu, Ahmad berkata, tadalah idak adil untuk mengaitkan kemenangan BN disebabkan jumlah pengundi dan undi popular.

“Ini yang kita guna di Malaysia, tidak payah dicampur dengan berapa undi dapat di pembangkang di kawasan bandar dibanding di kampung, itu bukan kaedah di Malaysia tapi saya lihat sehari dua ini mereka menggunakan analisa seumpama itu untuk memuaskan hati pihak yang kalah.

“Kemudian ada pula yang mengatakan kerana tidak ramai yang keluar mengundi. Dalam konteks demokrasi orang yang tidak keluar mengundi tidak pernah dihalang untuk keluar mengundi.

“Jadi mereka yang tidak keluar mengundi hendaklah menerima keputusan mereka yang keluar mengundi,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Pontian itu, UMNO tidak menjadikan kemenangan pada PRN baru-baru ini untuk mendabik dada sebaliknya akan terus memperbaiki kelemahan parti.

“Tapi kami bukanlah mendabik dada dengan kemenangan sudah tentunya kami sentiasa memperbaiki kelemahan apa yang berlaku di Melaka kita perbaiki dan kita dapat kemenangan di Johor.

“Saya sendiri mengharapkan 42 kerusi dan kita dapat 46, alhamdulillah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast