quarry rockfall
SAR runtuhan kuari sudah memasuki hari ketujuh dan dua mangsa tertimbus masih belum ditemui.

IPOH –  Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa tertimbus dalam insiden runtuhan kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini terpaksa dihentikan susulan berlaku runtuhan kecil.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, runtuhan kecil di kawasan itu dikesan kira-kira jam 10.35 pagi tadi sekali gus menyebabkan kerja-kerja pengalihan batu terpaksa dihentikan seketika.

“Pasukan penyelamat masih dalam skop kerja pemerhatian dan keselamatan bagi kerja pengalihan batu oleh syarikat kuari.

“Jarak laluan untuk ke lokasi tepat mangsa tertimbus dianggarkan kira-kira 20 meter untuk sampai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Difahamkan, runtuhan kecil ini merupakan runtuhan kedua yang berlaku di kawasan kejadian sekali gus menyebakan SAR dihentikan seketika. Kejadian runtuhan kecil pertama berlaku pada 10 Mac lalu.

Pada Selasa lalu, dua mangsa dilaporkan tertimbus dalam runtuhan di kuari tersebut.

Mereka dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Selain mereka, seorang mangsa berusia 35 tahun dilaporkan patah tulang kaki akibat insiden sama dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan. – MalaysiaGazette