M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menegur Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran tidak perlu bangkitkan isu politik berhubung cadangan menaikkan gaji minimum RM1,500.

Beliau berkata, tanpa ingatan atau cadangan daripada pembangkang, kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk menaikkan gaji minimum itu.

“Pilihan Raya Negeri dah tamat, keputusan pun dah tahu. Tak payahlah ceramah politik. Nak minta saya jawab secara rasional, saya boleh jawab.

“Kerajaan dari segi dasar telah bersetuju untuk menaikkan gaji minimum RM1,500, tiada masalah, tetapi sebagai kerajaan yang rasional, kita perlu mengkaji pelbagai aspek.

“Yang pokoknya ialah sama ada kerajaan bersetuju untuk menaikkan gaji RM1,500 ini atau pun tidak, ‘yes’ dah setuju.

“Tetapi, kita masih ada tanggungjawab, kita perlu mengkaji secara mendalam,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan M. Kuasegaran yang menjelaskan, ketika memerintah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah membuat akujanji untuk menaikkan gaji RM100 setiap tahun.

“Janganlah kita ingat pada masa PRU saja, kita memberi keutamaan kepada B40,” kata Ahli Parlimen Ipoh Barat itu.

Mengulas lanjut, M. Saravanan berkata, mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam tiga minggu berturut-turut membincangkan tentang gaji minimum dan mengambil kira pelbagai aspek.

“Kita kena tengok keadaan, ini bukan seperti mana disebut oleh Ipoh Barat, saya pun sedar setiap dua tahun kita kena naikkan gaji dalam keadaan biasa.

“Namun, ini dalam keadaan luar biasa, kita lihat dalam usaha kita menurunkan pengangguran walaupun dari 5.3 peratus kepada 4.2 peratus hari ini, tetapi suasana berbeza,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast