Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – MetMalaysia telah mengeluarkan kenyataan media pada 11 Mac lalu, memaklumkan mengenai permulaan fasa peralihan monsun yang bermula semalam dan dijangka berterusan hingga pertengahan Mei ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, permulaan fasa itu menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula sejak 3 November 2021.

“Ketika fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang memungkinkan berlakunya kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat beserta angin kencang dalam jangkamasa singkat iaitu satu hingga tiga jam.

“Kebiasaannya kejadian ini berlaku pada waktu petang dan awal malam di kebanyakannya kawasan pantai barat dan pedalaman semenanjung, barat Sabah, barat dan tengah Sarawak,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Parlimen, pagi ini.

Kata beliau, keadaan cuaca itu berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

“Namun, tumpuan juga harus diberikan kepada keadaan sungai, yang mana fenomena arus deras, kejadian kepala air dan limpahan air sungai berpotensi terjadinya jika hujan lebat yang berlaku dalam tempoh lebih lama.

“Situasi begini boleh juga mengakibatkan bencana kilat, banjir lumpur dan kejadian tanah runtuh,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast