Kesan darah mangsa yang dipercayai dipukul di hadapan sebuah bangunan kedai di Jalan Pesisiran Bunga Raya, Melaka.

MELAKA – Seorang lelaki gelandangan parah selepas dipercayai dipukul dalam kejadian di hadapan sebuah bangunan kedai di Jalan Pesisiran Bunga Raya, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa berusia lingkungan 40-an itu ditemukan orang awam dalam keadaan berlumuran darah di kaki lima bangunan terbabit kira-kira jam 7.20 pagi.

Menurutnya, sebaik tiba pasukan polis mendapati lelaki terbabit dilihat masih bernyawa dengan beberapa kesan darah akibat kecederaan termasuk di muka sebelum segera menghubungi ambulans untuk menyelamatkan mangsa.

“Tiada sebarang identiti pengenalan diri mangsa ditemui dan kita masih menyiasat punca kejadian termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada premis berhampiran.

“Berdasarkan maklumat doktor, mangsa mengalami kecederaan pendarahan dalam kepala, bibir koyak selain organ dalam perut turut pecah, namun tidak dapat dipastikan sama ada mangsa dipukul atau sebaliknya,” katanya.

Christopher menambah, pihaknya turut meminta dua lelaki lain yang sering dilihat bersama mangsa atau individu lain yang menyaksikan kejadian tampil bagi membantu siasatan.

Sementara itu, pemilik restoran berhampiran yang hanya mahu dikenali sebagai Nancy, 65 berkata, dia terkejut apabila melihat seorang lelaki terbaring di kaki lima bangunan tersebut sekitar jam 5 pagi untuk membuka kedai pada jam 7 pagi.

“Waktu tu saya sedang bersiap-siap untuk membuka kedai kerana baru sebulan lebih berpindah di sini sebelum terlihat seorang lelaki terbaring di luar kedai dalam keadaan berlumuran darah.

“Bimbang sesuatu yang buruk, saya terus menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui. – MalaysiaGazette