KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang untuk membangunkan Kertas Putih Kesihatan ke arah mengukuhkan sistem kesihatan negara secara menyeluruh.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, usaha itu sebagai usaha kerajaan memastikan perkhidmatan kesihatan lebih saksama, berkualiti tinggi, mudah diakses dengan kos berpatutan serta mampan untuk jangkamasa panjang.
Kata beliau, usaha pengukuhan itu penting bagi memenuhi keperluan kesihatan rakyat selari dengan status Malaysia sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi dan untuk masa depan.
“Semua usaha ini akan melibatkan beberapa pendekatan bagi mengembelengkan tindakan pelbagai pihak dalam memastikan kesihatan rakyat lebih baik.
“Kertas Putih Kesihatan ini adalah satu ikhtiar KKM untuk membuka hujah dan perbincangan bersama rakyat serta pihak berkepentingan mengenai sistem kesihatan negara yang memerlukan penambahbaikan yang mampan.
“Kertas Putih ini merupakan dokumen rasmi kerajaan yang akan mendapat sokongan pelbagai pihak tanpa ideologi politik, yang akan menggariskan status masa, jurang dan kekangan yang dihadapi,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Parlimen, pagi ini.
Menurut Khairy, dokumen itu akan mengemukakan cadangan penyelesaian secara berfasa dari segi reformasi penyampaian perkhidmatan, pembiayaan, tadbir urus serta organisasi merangkumi tempoh 15 tahun.
Katanya, penyediaan Kertas Putih Kesihatan itu akan mengambil kira hasil serta syor pelbagai kajian sistem kesihatan yang telah dilaksanakan sebelum ini dan juga pandangan pihak berkepentingan termasuk rakyat melalui sesi libat urus.
“Kita jangkakan Kertas Putih Kesihatan ini dibentangkan di Parlimen pada November tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette