KOTA TINGGI – Tahukah anda Muzium Nelayan Tanjung Balau yang terletak di Desaru, di sini merupakan satu-satunya muzium nelayan yang dibina bagi menghargai komuniti itu kerana jasa kepada industri perikanan tempatan di negara ini.

Menariknya muzium seumpama itu merupakan galeri sejarah pertama mengenai kehidupan dan peralatan masyarakat laut itu bukan sahaja di negara ini bahkan di rantau Asia.

Menurut Kuratornya, Muhammed Iqbal Rosli, pembinaan Muzium Nelayan Tanjung Balau itu merupakan satu inisiatif yang diambil Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) sejak 2005.

Muhammed Iqbal Rosli,
Kurator Muzium Nelayan Tanjung Balau, Muhammed Iqbal Rosli bercakap kepada MalaysiaGazette ketika ditemui, di Desaru, Kota Tinggi.
Foto: NIZAM ZAIN

“Muzium Nelayan Tanjung Balau ini merupakan satu-satunya muzium nelayan pertama di Asia dan Malaysia yang dibina.

“Kalau di Asia, kita cuma ada Galeri Perahu di Muzium Negeri Terengganu sahaja.

“Tetapi muzium nelayan kita cuma ada satu sahaja di sini (Tanjung Balau),” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Muzium Nelayan Tanjung Balau, baru-baru ini.

Tambah Iqbal, Kejora bukan sahaja membina muzium bahkan turut mewujudkan penempatan yang tersusun kepada masyarakat nelayan yang mula mendiami kawasan itu sejak 1930-an lagi.

“Bermula 1990-an, bila terlalu ramai nelayan di kawasan Tanjung Balau ini, Kejora mengambil inisiatif menghargai jasa nelayan itu dengan membina penempatan nelayan.

“Kawasan nelayan ini menjadi lubuk ikan yang paling banyak di Tanjung Balau di mana kerapu paling banyak di sini.

“Kita ada rumah tersusun Kejora, nelayan-nelayan ini kita buatkan rumah baharu di Tanjung Balau dan perumahan mereka ini tersusun,” jelasnya.

GALERI NELAYAN

Mengulas lanjut, Muzium Nelayan Tanjung Balau mempamerkan peralatan termasuk perahu, kelengkapan menangkap ikan dan kepercayaan komuniti nelayan tradisional di sini.

“Muzium ini juga memberi informasi dan penceritaan tentang pelbagai peralatan tradisional dari kelong hingga ke serkap, banyak info berkenaan kehidupan nelayan.

Replika Perkambungan Nelayan yang dipamerkan di Muzium Nelayan Tanjung Balau, Desaru, Kota Tinggi.
Foto: NIZAM ZAIN

“Kita juga mempamerkan perkampungan nelayan, aktiviti nelayan sewaktu dahulu di kawasan pantai, ada replika rumah nelayan, termasuk kelengkapan rumah,” katanya.

Batu-batuan, mineral dan fosil berusia 300 juta tahun yang dipamerkan di Muzium Nelayan Tanjung Balau, Desaru, Kota Tinggi.
Foto: NIZAM ZAIN

GALERI GEOLOGI

Memandangkan Muzium Nelayan Tanjung Balau terletak di dalam kawasan pedalaman, Iqbal mengakui ia menjadi cabaran untuk menarik kedatangan pengunjung apatah lagi hanya mempamerkan kehidupan nelayan semata-mata.

Batu-batuan berusia 300 juta tahun yang dipamerkan di Galeri Geologi di Muzium Nelayan Tanjung Balau, Desaru, Kota Tinggi.
Foto: NIZAM ZAIN

Bagi tujuan itu, pihaknya mewujudkan Galeri Geologi sebagai daya tarikan baharu di Desaru susulan banyak batu-batuan dan fosil berusia 300 juta tahun boleh didapati di sini.

“Batu-batuan ini berusia 300 juta tahun, di mana sudah wujud sejak zaman dinasaur di kawasan Tanjung Balau.

“Batu-batuan ini diperakui oleh pakar geologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM).

Fosil ikan berusia 300 juta tahun yang dipamerkan di Muzium Nelayan Tanjung Balau, Desaru, Kota Tinggi.
Foto: NIZAM ZAIN

“Malah Galeri Geologi ini adalah cadangan daripada arwah Prof Dr Tajul dari UKM, dia kata kenapa Kejora tak buat satu gelari geologi sedangkan dekat dengan batu geologi,” katanya.

Katanya, di Malaysia hanya ada dua muzium yang mempamerkan batu-batuan ini termasuk Muzium Geologi Perak dan Galeri Geologi Muzium Nelayan Tanjung Balau.

“Ramai orang tak tahu. Dalam galeri ini ada cerita tentang fosil seperti dinosaur, mineral seperti emas serta batuan.

Batu-batuan dan fosil berusia 300 juta tahun yang dipamerkan di Galeri Geologi di Muzium Nelayan Tanjung Balau, Desaru, Kota Tinggi.
Foto: NIZAM ZAIN

“Macam mana batu itu terlipat, bergulung macam kuih lapis, penceritaanya ada di dalam galeri geologi.

“Semua fosil di sini juga telah diperakui oleh Jabatan Mineral dan Geosains,” katanya.

GALERI KESELAMATAN DAN KOMUNIKASI LAUT

Selain itu, galeri nelayan dan geologi, pihaknya turut mewujudkan Galeri Keselamatan dan Komunikasi Laut yang mempamerkan artifak yang ditemui dari kapal karam di Desaru, di sini.

“Satu lagi tarikan muzium ini ialah Galeri Kapal Karam di Desaru, di mana ada artifak yang ditemui.

“Kebanyakan kapal karam ini setua 1840-an, kapal dari China zaman Disnati Teng, kita temui pelbagai barang seramik, sudu dan tempayan.

“Namun kajian lanjut barang dalam kapal karam ini kita tak buat, tapi dibuat oleh pelajar universiti,” jelasnya.

Jelasnya lagi, kapal karam Desaru itu juga turut dipamerkan di Muzium Maritim Singapura.

“Kapal karam Desaru ini dijumpai oleh sebuah syarikat yang datang ke Malaysia untuk mencari harta karun dan kapal karam di sekitar lautan di Malaysia.

“Banyak kapal karam di Malaysia cuma orang boleh atau tidak naikkan saja kerana kos tinggi dan perkara mistik biasa berlaku di negara.

“Kalau nak naikkan kena panggil pawang dari Indonesia untuk keluarkan dari laut,” ulasnya.

PAMERAN BERMUSIM

Memandangkan jumlah pengunjung hanya mencecah 30,000 orang setiap tahun sebelum datangnya pandemik Covid-19, pihaknya perlu membuat pameran selain daripada kehidupan nelayan.

“Kita bina galeri bermusim untuk meletakkan pameran secara tiga kali setahun.

“Untuk tempoh empat bulan, kita pamerkan barang yang bukan tentang nelayan dan batu-batuan, pameran bermusim ini mengikut tema tertentu.

“Muzium Negara pun buat pameran topeng. Kita pula buat pameran mistik Melayu contohnya kita ada pengumpul barang-barang bunian daripada pengumpul koleksi di sini.

“Kita pamerkan sejadah bunian, kita nak ceritakan bagaimana ketahyulan dan syiriknya orang Melayu yang percaya kepada perkara mistik, duit terbang, jenglot dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, pihaknya turut membuat pameran mistik melibatkan keranda yang dipinjamkan daripada Jabatan Muzium Malaysia.

“Keranda ini bukan biasa tapi keranda asal dari Kepulauan Luzon, di mana pembesar mati mereka akan didudukkan di kerusi khas rotan sampai mayat mereput, daging meletak di kerusi.

“Kita pamerkan kerusi rotan ini di sini sebagai infomasi kepada orang ramai.

“Sebenarnya tujuan kita buat pameran bermusim ini menarik kedatangan pengunjung sahaja,” katanya.

Setakat ini, pihaknya membawa sehingga 14 koleksi barang mistik untuk dipamerkan di Muzium Nelayan Tanjung Balau dalam tempoh tiga bulan bagi setiap tahun

“Ada juga pameran rangka ikan paus, pameran pelik, haiwan pelik kita bekerjasama dengan Jabatan Veterina di mana mereka ada koleksi haiwan kambing berkepala dua, ular dan sebagainya.

“Itu tarikan tambahan kita. Sejak 2007 saya masuk di sini, nisbah pengunjung ketika itu setahun hanya ada 1,000 orang sahaja.

“Sebelum pandemik Covid-19, kita boleh dapat 20,000 hingga 30,000 pengunjung, masih tidak dapat menandingi muzium di luar seperti Johor Bharu, tetapi bagi saya satu peningkatan yang positif,” katanya.

NAIK TARAF MUZIUM NUSANTARA

Menurut Iqbal, dalam tempoh lima tahun akan datang Muzium Nelayan Tanjung Balau akan dinaik taraf menjadi Muzium Nusantara pertama di Asia.

Katanya, konsep pameran peralatan dan kelengkapan nelayan tradisional tidak terhad dari Malaysia sahaja bahkan merangkumi nelayan dari Indonesia, Thailand dan Myanmar.

Antara sampan nelayan tradisional yang dipamerkan di Muzium Nelayan Tanjung Balau, Desaru, Kota Tinggi.
Foto: NIZAM ZAIN

“Kita akan beli peralatan nelayan dan ia akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Saya sasarkan seawal 2025 saya mesti ada konsep Muzium Nusantara ini.

“Nelayan tradisional di Sabah dan Sarawak kita belum teroka lagi, peralatan nelayan tradisional ini kita kena beli dari negara-negara Asia.

“Cerita dan sejarah orang Indonesia, Thailand kan lain, perahu pun lain, walaupun bentuk lebih kurang sama, namun nama dan bentuknya berlainan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast