Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail diiringi Ismail Sabri Yaakob menyempurnakan majlis pelancaran PIP di IBC Chuping Valley, Perlis.

KUALA LUMPUR – Projek Pembangunan Perlis Inland Port (PIP) yang bernilai sebanyak RM340 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) adalah komitmen Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan pembangunan rentas wilayah dan negeri serta kawasan luar bandar, bandar dan sempadan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PIP mencerminkan momentum pertumbuhan dan kemajuan ekonomi Perlis yang dipacu oleh sektor pertanian moden dan pintar serta pembuatan bernilai tinggi.

PIP melibatkan tiga infrastruktur iaitu jajaran keretapi, jejambat dan “bonded road”.

”PIP ialah salah satu projek strategik nasional dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan pelancarannya amat tepat ketika negara melalui proses pemulihan selepas terkesan akibat pandemik Covid-19.

“NCER kini berdepan dengan prospek pertumbuhan yang cerah, yang mana unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) wilayah antara 6.5 peratus dan 6.9 peratus dalam tempoh pemulihan 2022,” katanya pada majlis pelancaran PIP.

Pelancaran projek itu disempurnakan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Hadir sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Ismail Sabri berkata, berdasarkan indikator ekonomi yang positif dan memastikan lebih ramai Keluarga Malaysia dalam wilayah ini memperolehi manfaat, Kerajaan Perlis dan NCER perlu meningkatkan daya saing bagi menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa.

Perkhidmatan logistik dan fasilitasi perdagangan yang cekap dan berkualiti tinggi amat penting bagi meningkatkan daya saing negara serta menjana peluang pekerjaan.

Menurut beliau, Malaysia dan Thailand bersetuju untuk mensasarkan nilai perdagangan kepada AS$30 bilion menjelang 2025 dan kedudukan Perlis yang strategik dari segi geografi untuk memanfaatkan pelbagai peluang ekonomi dan perniagaan dalam perniagaan rentas sempadan.

”Penubuhan PIP amat tepat pada masanya bagi merancakkan perdagangan dengan Thailand dan mewujudkan nilai tambah kepada projek-projek strategik di NCER iaitu Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Chuping Agro Valley (CAV), NCER Agribio Economic Zone (NAEZ), dan Perlis Super Fruits Valley.

”PIP mencerminkan momentum pertumbuhan dan kemajuan ekonomi Perlis yang dipacu oleh sektor pertanian moden dan pintar serta pembuatan bernilai tinggi, sekali gus akan menarik pelaburan baharu dengan penyediaan kemudahan logistik yang lengkap dan kos pengangkutan yang berpatutan bagi pelabur-pelabur di CVIA,” ujarnya.

Beliau berkata, CVIA juga bakal mentransformasikan Perlis dan ekonomi NCER menerusi peningkatan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dan ini dapat mengurangkan migrasi keluar rakyat tempatan.

Katanya, walaupun baru dilancarkan, CVIA telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM4.5 bilion yang bakal menjana hampir 12,000 peluang pekerjaan.

Oleh itu, NCIA akan terus meningkatkan sistem hubungan pengangkutan yang bersepadu dengan infrastruktur pengangkutan dan logistik yang holistik, membolehkan PIP mempertingkatkan daya tarikan pelabur ke NCER.

Tambah Perdana Menteri, Perlis sedang berada di trajektori peningkatan dalam pertumbuhan ekonomi pasca-pandemik menerusi kenaikan jumlah dagangan pada tempoh Januari hingga Disember 2021 sebanyak RM7.9 billion berbanding RM5.4 billion pada tempoh yang sama tahun 2020.

Penyertaan tenaga kerja pula mencatatkan 64.5 peratus pada suku keempat 2021 berbanding 63 peratus bagi tempoh yang sama pada 2020.

Jelasnua, Perlis kini bersedia mengorak langkah ke arah transformasi menjadikannya negeri berasaskan perindustrian moden dengan projek-projek strategik berimpak tinggi seperti PIP dan CVIA. – MalaysiaGazette