Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerima 47 aduan dan pertanyaan mengenai skim pelaburan haram yang dipromosikan melalui Telegram sejak Januari 2022.

Menurutnya, jumlah itu adalah peningkatan mendadak penipuan pelaburan yang dipromosikan dalam aplikasi Telegram.

Menurutnya, skim penipuan ini menawarkan peluang pelaburan yang tidak wujud serta menjanjikan pulangan yang sangat menarik dan bebas risiko dalam jangka masa yang singkat.

Skim-skim ini kebiasaannya menawarkan pulangan yang tidak realistik sehingga 1,000% dalam
masa 24 jam atau beberapa jam dan pihak ini menggunakan pelbagai nama untuk menjalankan aktiviti penipuan pelaburan.

”Mereka boleh menyamar atau mengklon perantara pasaran modal berlesen dengan menggunakan nama, logo, kelayakan, laman web dan butiran lain daripada entiti yang sah bagi mempromosikan skim haram tersebut.

”Mereka juga mewujudkan kumpulan awam di Telegram bagi mempromosikan pakej pelaburan yang kebiasaannya disertakan dengan testimoni palsu dan juga diiklankan sebagai patuh Syariah.

”Pelabur yang berminat akan diminta untuk menghantar mesej terus kepada wakil untuk memulakan pelaburan dalam pelbagai pakej yang ditawarkan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Selain itu, pelabur sering diarahkan untuk mendepositkan wang ke dalam akaun bank peribadi individu yang mendakwa mewakili entiti yang sah, dan/atau ke dalam akaun korporat yang tidak berkaitan.

Bagi mendapatkan kepercayaan dan menarik mangsa untuk tidak curiga, pelaku akan mendakwa bahawa entiti mereka dan/atau skim pelaburan tersebut telah diluluskan oleh pihak berkuasa kewangan.

Oleh itu, SC ingin mengingatkan pelabur supaya sentiasa berhati-hati dalam menilai peluang pelaburan, terutamanya yang menjanjikan pulangan tinggi yang tidak realistik dengan risiko yang sedikit atau tiada.

Pelabur juga tidak seharusnya memindahkan wang ke dalam akaun bank peribadi seseorang jika diarahkan.

SC menggesa orang ramai untuk merujuk kepada Senarai Peringatan Pelabur SC sebelum melabur.

Senarai tersebut mengandungi butiran laman web, produk pelaburan, syarikat dan individu yang beroperasi tanpa kebenaran.

Orang ramai yang mengesyaki bahawa mereka telah dihubungi oleh firma atau individu yang tidak dibenarkan dan yang menawarkan skim dengan pulangan tidak realistik boleh membuat laporan kepada Jabatan Pengguna dan Pelabur SC di talian 03-6204 8999 atau e-mel: [email protected]. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast