Tiga lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki terlibat penipuan dalam talian menerusi serbuan di sebuah kondominium. Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan kegiatan penipuan dalam talian dengan tertangkapnya tiga lelaki menerusi serbuan di sebuah kondominium di Jalan Yap Kwan Seng di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan dijalankan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sekitar pukul 12.30 tengah malam.

Menurut beliau, tangkapan itu melibatkan lelaki warga tempatan berusia lingkungan 19 hingga 33 tahun selain rampasan 42 unit peralatan yang diguna untuk melakukan penipuan atas talian.

“Siasatan awal mendapati kegiatan ini telah beroperasi selama sebulan dengan menyasarkan mangsa dari luar negara.

“Kesemua tangkapan berperanan mencari maklumat mangsa melalui akaun Facebook dan kemudiannya menyerahkan maklumat itu kepada satu sindiket yang lain bagi tujuan penipuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Noor Dellhan, antara peralatan yang dirampas termasuklah empat unit CPU, empat unit monitor komputer, sebuah komputer riba, 28 buah telefon bimbit, lima unit modem serta empat papan kekunci.

Katanya lagi, kesemua tangkapan direman selama empat hari sehingga 18 Mac ini bagi siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menyeru kepada pihak pengurusan bangunan dan orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat atau aktiviti yang mencurigkan berkenaan penipuan dalam talian atau jenayah dengan menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2159999). – MalaysiaGazette