KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dengan jenayah pecah rumah di sekitar Telok Panglima Garang, Kuala Langat dan memburu seorang lagi yang masih bebas.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pada 7 Mac lalu pihaknya menerima telah menerima laporan daripada seorang lelaki yang bekerja sebagai juruteknik mengatakan rumahnya di Taman Jaya Utama, Telok Panglima Garang telah dipecah masuk oleh beberapa individu tidak dikenali.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Telok Panglima Garang menahan dua lelaki warga tempatan di sekitar Telok Panglima Garang pada jam 4.30 petang hari yang sama.

“Pihak polis juga berjaya menemui sejumlah barangan dan wang disyaki hasil daripada kegiatan pecah rumah di sekitar Telok Panglima Garang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hasil semakan dapati kedua-dua suspek berumur lingkungan 26 tahun hingga 46 tahun yang merupakan anggota Geng Kacang masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah.

Katanya, suspek pertama mempunyai sembilan rekod jenayah manakala seorang lagi suspek mempunyai dua rekod jenayah.

“Kumpulan ini aktif dalam melakukan jenayah sejak dua bulan yang lalu.

“Pihak polis percaya telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya empat kes pecah rumah di sekitar kawasan Telok
Panglima Garang,” ujarnya.

Menurut Ahmad Ridhwan, suspek telah direman selama empat hari dan ditahan di Lokap Balai Polis Banting IPD Kuala Langat.

Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah rumah yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan denda atau sebat jika disabit kesalahan.

Sementara itu, Ahmad Ridhwan berkata,  polis juga masih menjalankan siasatan bagi mengesan seorang lagi  suspek lelaki disyaki rakan sejenayah yang masih bebas. – MalaysiaGazette