Onn Hafiz Ghazi Johor MB Menteri Besar

ISKANDAR PUTERI – Datuk Onn Hafiz Ghazi memulakan tugas sebagai Menteri Besar Johor pagi ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap yang tiba di Bangunan Dato Jaafar Muhammad pada jam 10 pagi itu disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.

Turut hadir menyambut Onn Hafiz ialah Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salehuddin Hassan.

Sebelum memulakan tugas, doa dibaca diikuti sesi bergambar bersama ketua-ketua jabatan negeri.

Beliau kemudian menandatangani perakuan memulakan tugas rasmi di pejabat Menteri Besar.

Semalam, cicit kepada Pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar, iaitu Onn Hafiz, dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-19.

Onn Hafiz mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kira-kira jam 3 petang semalam.

Beliau yang merupakan Naib Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu dengan majoriti 6,543 undi.

Onn Hafiz menggantikan Datuk Seri Hasni Mohammad yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020. -MalaysiaGazette