Simpang Renggam

SIMPANG RENGGAM – “Kami sudah undi, wakil rakyat segera laksanakan janji”, itu antara harapan rakyat Johor setelah selesai pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac yang lalu.

Tinjauan MalaysiaGazette di kawasan sekitar Layang-layang mendapati rata-rata penduduk mahu menyaksikan perubahan baharu daripada kerajaan negeri yang telah diberikan mandat.

Maznah Husin, 49, yang telah berniaga lebih 10 tahun di Simpang Renggam berharap isu melibatkan peniaga-peniaga kecil di kawasan itu yang terjejas akibat Covid-19 dapat diberi perhatian segera oleh wakil rakyat

Antaranya masalah persekitaran premis perniagaan yang tidak diselenggara dengan baik perlu dilakukan kerana terdapat banyak tikus menyebabkan mereka tidak selesa untuk berniaga.

“Harapan apabila BN sudah menang, wakil rakyat dapat menjalankan tanggungjawab dengan sempurna, kalau boleh bantulah kami peniaga-peniaga kecil di sini dengan peruntukkan bantuan sebab kami memang terjejas akibat Covid-19.

“Selain itu, dekat Simpang Renggam ini banyak kedai tutup sebab ramai orang kat sini ingin berniaga tetapi bila mohon susah untuk mendapatkan kelulusan. Kalau kita tengok sekeliling sepi dan tiada orang ingin datang.

“Bukan itu sahaja, dekat sini banyak tikus sebab kawasan tidak diselenggara oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), harap wakil rakyat nanti boleh datang bantu kami selesai isu ini demi menjaga kebersihan serta kesihatan semua orang,” katanya pada pemberita.

Maznah Husin, peniaga di Simpang Renggam

Dalam pada itu, peniaga ayam goreng, Mohd Shami Abdullah,31, turut memberi pandangan yang sama, malah mengharapkan pembangunan untuk golongan anak muda dapat disediakan di kawasan Simpang Renggam segera.

“Saya cuma harap pembangunan untuk anak muda diwujudkan segera terutama di Parlimen Simpang Renggam ini seperti aktiviti sukan, program yang manfaat untuk anak muda di sini daripada melepak tanpa hala tuju.

“Sejak berlaku kenaikan harga barang ini memang memberi kesan sangat terutama peniaga kecil seperti saya. Kalau boleh buatlah sesuatu untuk bantu saya dan peniaga yang lain sebab pembeli pun semakin susut tidak seperti sebelum berlakunya Covid.

“Kami minta wakil rakyat yang telah diberi mandat ini, jalankan tanggungjawab dan bantulah kami di sini,” ujarnya dengan penuh harapan.

Mohd Shami Abdullah, Peniaga.

Kini DUN itu dipimpin oleh Abd Mutalip Abd Rahim dari Barisan Nasional (BN) yang berjaya menewaskan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dengan majoriti 2,815.

Siti Zubahidah Mashudi

Siti Zubahidah Mashudi, 53, merupakan penduduk Kampung Isnin Maarof serta kawan sekolah Abd Mutalip berkata, dia percaya kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri Dun (ADUN) Layang -Layang itu mampu memimpin serta mentadbir kawasan itu dengan baik.

Ini kerana Abd Mutalip sebelum ini merupakan penyandang di kawasan itu dan keperibadian beliau itu telah membuatkan penduduk di sekitar percaya dengan kepimpinannya.

“Saya sudah lama kenal beliau (Abd Mutalip) sejak sekolah lagi, dan dia memang terbaik sebab apa sahaja yang kita minta tolong, beliau akan tolong tanpa pilih bulu.

“Harap beliau dapat laksanakan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat dengan baik dan tunaikan janji. Saya cuma tidak mahu berlaku seperti pemimpin lain, apabila dapat jawatan dan menang, tugas pada rakyat dilupakan. Buatlah terbaik untuk DUN Layang-Layang,” jelasnya.

Affendi Abd Rahman, penduduk DUN Layang-Layang.

Sementara itu, bagi Affendi Abd Rahman, 46, juga memberi pandangan yang sama terhadap Abd Mutalip dan mengharapkan beliau dapat melunaskan tanggungjawabnya pada rakyat dengan sebaik mungkin.

“Saya mengenali Abd Mutalip ini sudah lama dan sejak beliau menjadi wakil rakyat ketika penggal terdahulu sehinggalah kini, beliau memang banyak membantu rakyat di Renggam serta Layang-Layang.

“Sifat beliau ini membuatkan saya bangga dan layak beliau menang dalam PRN kali ini. Apa saya harapkan adalah supaya beliau terus menjaga rakyat di kawasannya terutama yang memerlukan bantuan termasuklah pada golongan muda,” katanya. – MalaysiaGazette