Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir sambung prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 17 MAC 2022.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 10 Mei ini bagi mendengar permohonan Datuk Seri Najib Razak yang mahu mendapatkan akses beberapa dokumen 1Malaysia Development Berhad (1MDB) antaranya maklumat perbankan ahli keluarga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Maklumat perbankan itu termasuklah penyata bank didakwa berkaitan dengan pemberian wang oleh Low Taek Jho atau Jho Low kepada keluarga Zeti yang dipercayai bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan itu.

Jawatankuasa Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bercakap kepada media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Jalan Binjai, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 JUN 2018.
Zeti Akhtar Aziz

Najib juga telah memohon untuk mendapatkan dokumen di mahkamah Amerika Syarikat (AS) iaitu laporan forensik telefon bekas pegawai Goldman Sachs, Tim Leissner yang sedang dibicarakan di New York ketika ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam, mengesahkan tarikh itu sebentar tadi kepada media selepas pengurusan kes itu hari ini.

“Mahkamah Rayuan tetapkan 10 Mei 2022, hujah telah difailkan,” katanya ringkas.

Pada 12 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan Najib menuntut pihak pendakwaan mengemukakan beberapa penyata perbankan dan dokumen lain kepada pasukan pembelaannya dalam perbicaraan kes 1MDB yang sedang dihadapi olehnya.

Pada 24 Mac, Najib memfailkan notis usul memohon perintah mahkamah bagi pihak pendakwaan mengemukakan beberapa pernyataan perbankan daripada syarikat-syarikat termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd, dan Central Holdings Ltd, yang dipercayai ada kaitan dengan Jho Low dan keluarga Zeti dalam kes 1MDB yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan permohonan kedua pada 7 April, bagi mendapatkan dokumen perjanjian sulit antara kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs pada 2020 dan transkrip atau laporan forensik terhadap telefon bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan ketika ini sedang berhadapan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.-MalaysiaGazette