Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri Perhimpunan Agung Wanita sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 17 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Ketiga-tiga sayap UMNO dalam persidangan masing-masing yang bermula hari ini menunjukkan kesiapsiagaan masing-masing untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Namun Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkenan dari Yang di-Pertuan Agong dan nasihat daripada Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Persekutuan menjadi penentu terhadap masa yang sesuai untuk pilihan raya diadakan.

“Perasmian untuk persidnagan sayap-sayap malam tadi dan sepanjang hari ini merupakan satu set bahawa sayap-sayap UMNO dan juga seluruh UMNO bahagian-bahagian didokong oleh UMNO perhubungan negeri memperlihatkan kesiapsiagaan bagi terus menggerakkan jentera terhadap sebarang kemungkinan yang akan berlaku terutamanya apabila ketiga-tiga sayap menyebutkan bahawa mandat baharu rakyat hendaklah diperoleh dalam jeda waktu tertentu atas nasihat daripada Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memohon perkenan baginda.

“Namun sebagai ketua parti, ianya adalah merupakan suatu perancangan politik, hakikatnya Perlembagaan negara dan kuasa Agong hendaklah dihormati dan tentunya kuasa akar umbi akan terus didengar,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke Laman Media Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 hari ini.

Ahmad Zahid berkata, ketiga-tiga ketua sayap parti berkenaan menunjukkan semangat yang tinggi menerusi ucapan dasar yang telah disampaikan pada pagi tadi.

Beliau yakin jurucakap yang bakal membahaskan ucapan dasar akan turut senada dengan ketua masing-masing-

Untuk rekod, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (Ketua Pemuda), Datuk Dr Noraini Ahmad (Ketua Wanita) dan Datuk Zahida Zarik Khan (Ketua Puteri) berkata kesemua ahli mereka bersedia untuk berhadapan dengan PRU-15.-MalaysiaGazette