Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berucap pada ketika hadir pada Perhimpunan Agung Wanita sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 17 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan maksimum sebanyak RM10,000 yang diumumkan  Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam memberi kelegaan kepada rakyat.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad  berkata,  keputusan berkenaan sudah tentu dapat membantu rakyat yang sedang bergelut dengan konflik kewangan akibat pandemik Covid-19.

“Terima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang begitu prihatin dengan keresahan hidup rakyat dengan membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.

“Pastinya, ia memberi satu rahmat dan kelegaan yang besar kepada rakyat yang sedang berusaha untuk memulihkan kehidupan mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar, Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2021.

Ujar beliau, cabaran kerajaan kini adalah untuk memulihkan kehidupan rakyat pada pasca pandemik Covid-19.

Dalam masa yang sama menurut Noraini, rakyat juga mahu melihat kebaikan dan kemajuan yang boleh diterima dan dilaksanakan oleh kerajaan.

“Pandemik yang melanda negara dua tahun lalu masih memberi kesan mendalam kepada kehidupan seharian semua termasuklah wanita.

“Slogan membawa kestabilan politik mungkin relevan pada masa kini. Namun, rakyat akan melihat apa kebaikan dan kemajuan yang akan kita laksanakan dalam membawa negara ini ke hadapan,” tambah beliau.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan keputusan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.

Permohonan pengeluaran wang caruman itu  dibuka kepada ahli di bawah umur 55 tahun bermula 1 April ini.-MalaysiaGazette