Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini tidak membincangkan isu berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebaliknya beliau mesyuarat yang berlangsung lebih dua jam itu menjurus kepada usul yang akan dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang akan dirasmikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, esok.

“Mesyuarat bincang perkara seperti tahun-tahun lepas. Tidak ada bincang (PRU). Hanya berkaitan laporan daripada wakil MT ke mesyuarat sayap-sayap. Tidak ada pasal PRU,” katanya yang juga Naib Presiden UMNO ketika ditemui di Menara Dato’ Onn, malam ini.

PRU15 dijangka menjadi tumpuan pada PAU 2021.

Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang bersidang hari ini turut menyentuh mengenai PRU15 bagi memberi mandat kepada rakyat memilih kerajaan yang stabil. -MalaysiaGazette