Sebahagian pelajar UPM yang memunggah barang-barang untuk kembali ke kampus.

KUALA LUMPUR – Seramai 18,241 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi kedua-dua kampus iaitu Kampus Serdang, Selangor dan Kampus Bintulu Sarawak bagi Semester Kedua Sesi 2021/2022 kembali ke kampus bermula 16 Mac sehingga 18 Mac 2022.

Kemasukan pelajar kali ini amat mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat yang dikawal oleh pengurusan kolej kediaman masing-masing.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, bagi mencegah risiko penularan pandemik Covid-19 dalam kampus UPM, pihak pengurusan kolej-kolej kediaman UPM telah mengambil keputusan bahawa semua proses dan prosedur berkaitan kemasukan dan pendaftaran pelajar hendaklah dijalankan dengan
mematuhi SOP yang ditetapkan.

“UPM sangat mengutamakan langkah keselamatan seperti memastikan hanya pelajar yang berisiko rendah dibenarkan masuk ke kolej kediaman pelajar perlu mengisi borang pengisytiharan kesihatan, pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, penggunaan
pensanitasi tangan (hand sanitizer), pengimbas suhu dan penjagaan kesihatan diri yang rapi,” katanya.

Pengetua Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSSAS), UPM, Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad berkata, pihak kolejnya juga memberi penekanan yang tinggi terhadap pematuhan SOP sebelum menerima kemasukan pelajar.

Katanya, sanitasi setiap bilik pelajar dilakukan agar mereka yang kembali ke kolej berasa selesa dan selamat untuk meneruskan kuliah secara fizikal di kampus.

”Pihak KOSSAS akan memastikan bilik sudah disanitasi agar pelajar yang pulang dapat masuk ke bilik dalam keadaan yang bersih, selesa dan selamat untuk didiami. Saringan awal COVID-19 juga akan dibuat sebelum pelajar mengambil kunci bilik masing-masing,” ujarnya.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi Dengan Kepujian, Fakulti Sains, UPM, Wan Ain Najyaa Wan Mamat meluahkan rasa teruja apabila beliau pertama kali akan menghadiri kelas secara fizikal setelah hampir dua tahun menjalani kuliah secara maya.

“Saya selalu tertanya-tanya bagaimana kelas bersemuka akan dijalankan kerana selama ini saya hanya mendengar pensyarah mengajar melalui platform Zoom dan Google Meet. Jadi kali ini saya akan lebih dekat berjumpa dengan para pensyarah,” katanya.

Bapa kepada pelajar UPM, Nur Ain Aqilah, Rosli Abdullah yang berasal dari Kelantan gembira apabila anaknya boleh kembali ke kampus semula.

”Walaupun saya juga khuatir dengan kenaikan kes semasa Covid-19, namun saya yakin inilah yang terbaik buat anak saya kerana apabila kelas fizikal ini dia akan lebih faham dan penyampaian ilmu akan lebih jelas.

”Apabila kelas dalam talian ini saya lihat anak saya kurang mesra dengan kawan-kawan satu kuliahnya. Jadi suasana sebenar alam kampus ini akan lebih dirasainya apabila anak saya ini dapat menjalani kelas secara fizikal,” jelasnya.

Sementara itu, seramai 12,929 pelajar ijazah sarjana muda dan 3,997 pelajar pasca siswazah (Master/PhD) akan kembali ke Kampus Serdang.

Manakala bagi Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) pula, seramai 1,202 pelajar ijazah sarjana muda dan 113 pelajar pasca siswazah) yang akan kembali ke kampus.

UPM turut membenarkan pelajar antarabangsa yang telah lengkap vaksin dan telah mendapat dos penggalak untuk kembali ke kampus dan wajib melaksanakan kuarantin tujuh hari atau lima hari setibanya dari negara asal di pusat kuarantin yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti yang ditetapkan oleh kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast