Datuk Seri Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Soal sama ada pemilihan parti atau Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lebih awal akan diputuskan oleh pucuk pimpinan UMNO.

Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, di peringkat UMNO Bahagian Arau yang diketuainya, mereka akan akur apa sahaja pendekatan yang dibuat oleh parti.

“Perkara itu biarlah dibincang peringkat parti iaitu top five untuk bincangkannya. UMNO Arau akan ikut apa saja pendekatan parti.

“Yang penting, sementara kita berkuasa dalam kerajaan ini, kita akan memperkuatkannya dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Saya ingat rakyat dahagakan satu pendekatan di mana kita membela rakyat dan sementara kita berada dalam kerajaan ini, kita akan terus membela rakyat,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini hari ini.

Ditanya sama ada UMNO akan bergerak sendiri atau akan bersama dengan parti lain, beliau yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Arau berkata, hanya parti yang akan membuat keputusan.

“Seperti yang Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) sebut tadi (ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di PAU, Ismail Sabri (selaku Perdana Menteri) jaga kerajaan, dia (Ahmad Zahid) jaga parti.

“Yang penting ialah kerjasama,” katanya ringkas. – MalaysiaGazette