Gambar hiasan.

 

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,665 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital setakat semalam termasuk 679 kes (40.8 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 986 kes (59.2 peratus) kategori 1 dan 2.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 383 kes (164 kes disahkan Covid-19; 219 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan).

Manakala kes memerlukan bantuan pernafasan pula seramai 222 kes (103 kes disahkan Covid-19; 119 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan).

Bagi tempoh yang sama, sebanyak lapan negeri menunjukkan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) melebihi 50 peratus iaitu Kuala Lumpur (73%), Putrajaya (67%), Perlis (64%), Kelantan (63%), Selangor (57%), Pulau Pinang (55%), Sarawak (55%), dan Johor (53%).

Sebanyak 12 negeri pula menyaksikan katil bukan ICU melebihi 50 peratus penggunaan iaitu Selangor (96%), Kuala Lumpur (89%), Putrajaya (88%), Terengganu (76%), Perak (75%), Perlis (72%), Melaka (69%), Sarawak (65%), Kelantan (57%), Negeri Sembilan (57%), Johor (55%) dan Pahang (51%)

Menurutnya, sebanyak 24,241 kes jangkitan harian baharu dilaporkan semalam dengan 23,720 adalah kes tempatan dan 521 merupakan kes import.

Daripada kes harian yang dilaporkan semalam, kes kategori 1 sebanyak 9,801; kategori 2 (14,255); kategori 3 (67), kategori 4 (65) dan kategori 5 (53 kes).

Dr Noor Hisham berkata, daripada 185 kes Covid-19 kategori 3, 4, dan 5 yang baharu dilaporkan semalam, 60 kes (32.43%) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; • 71 kes (38.38%) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak; 54 kes (29.19%) telah menerima dos penggalak; 109 kes (58.92%) berumur 60 tahun dan ke atas; 84 kes (45.41%) mempunyai komorbid dan satu kes (0.54%) kes ibu mengandung.

Malaysia merekodkan 332 kluster aktif dengan tiga kluster baharu. – MalaysiaGazette