Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu sebanyak RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan gaji minimum yang baharu  ini akan membantu golongan kurang berkemampuan khususnya B40.

“Kos sara hidup semakin meningkat. Ini akan menekan golongan B40. Saya mendengar perbahasan yang dibawa oleh para perwakilan dan keluhan rakyat di luar sana.

“Justeru, hari ini saya ingin mengumumkan di dalam dewan keramat ini, kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei 2022 di seluruh negara,” kata Naib Presiden UMNO berkenaan ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, hari ini.

Menurut beliau, keputusan ini dibuat selepas kerajaan melaksanakan kajian impak secara terperinci.

Jelasnya, pelaksanaan gaji minimum yang diluluskan ini hanya melibatkan majikan sektor swasta yang mempunyai lima orang pekerja ke atas.

“Selain itu, insya-ALLAH Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bagi memanfaatkan lebih ramai iaitu hampir 9 juta penerima dengan implikasi kewangan berjumlah RM8.2 bilion akan diberi pada hujung bulan ini.

“BKM telah ditambah baik daripada bantuan tunai langsung sebelum ini. Nilai bantuan ditambah mengikut klasifikasi bilangan anak bagi isi rumah yang tidak mempunyai anak, mempunyai seorang hingga dua orang anak dan isi rumah yang mempunyai tiga orang anak atau lebih serta memperkenalkan kadar tambahan bagi kategori isi rumah terhad kepada ibu/bapa tunggal (IBT) dan warga emas,” tambahnya. – MalaysiaGazette