Fadillah Yusof meninjau kawasan cerun di K1 Jalan Kuala Kedah, Yan, Singkir. foto FB Fadillah Yusof

YAN – Sebanyak 327 runtuhan cerun di sepanjang jalan-jalan persekutuan di seluruh negara telah dikenal pasti dan akan dibaik pulih dengan peruntukan keseluruhan dianggarkan lebih RM400 juta.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kebanyakan jalan persekutuan yang terlibat adalah di negeri-negeri di Pantai Timur selain di Negeri Sembilan, Selangor dan Perak.

“Setakat ini kita membuat baik pulih cerun di 121 lokasi daripada 327 lokasi. Ada yang yang telah siap, ada yang masih dalam pembinaan, ada yang dalam perancangan, mengikut betapa serius keruntuhan cerun tersebut.

“Ada runtuhan yang berskala kecil, yang berskala kecil itu sebahagiannya sudah siap, ada yang sederhana yang dalam perancangan dan yang besar mungkin memerlukan banyak masa untuk kita selesaikan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja pembaikan cerun FT252 Jalan Gunung Jerai di sini hari ini.

Antara lokasi runtuhan cerun berskala besar dan serius, kata beliau termasuk di Cameron Highlands, Jerantut, Kuala Lipis dan Bentong di Pahang; Kuala Klawang dan Genting Peras, Negeri Sembilan dan Simpang Pulai, Perak.

Fadillah berkata, di Kedah sebanyak 12 runtuhan cerun yang berlaku di jalan persekutuan iaitu Jalan Gunung Jerai dan jalan negeri di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu Jalan Kuala Kedah yang sedang dibaik pulih dengan sebahagian besar daripada kerja-kerja itu telah pun siap.

Beliau berkata, terdapat tujuh runtuhan cerun di Jalan Gunung Jerai dan lima di Jalan Kuala Kedah dengan kos keseluruhan untuk membaik pulih sekitar RM15 juta.

“Kalau kita melihat di bawah itu (di Jalan Gunung Jerai) kerjanya agak kompleks bukan sekadar membuat semula cerun tetapi memasang ‘netting’ untuk menghalang runtuhan dan melindungi jalan-jalan kita dan diharapkan dengan projek yang telah dijalankan ini akan mengurangkan risiko berlakunya lagi runtuhan pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Fadillah lagi, ada beberapa lagi runtuhan cerun di jalan persekutuan lain di negeri ini yang telah dikenal pasti dan kerja-kerja baik pulih sedang dirancang membabitkan peruntukkan kira-kira RM6 juta.

Mengulas mengenai insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, Selangor, baru-baru ini beliau berkata kerja baik pulih runtuhan itu di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri, sementara kementerian menerusi JKR hanya menyediakan kepakaran dan nasihat yang diperlukan. – MalaysiaGazette