Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga dari kanan), Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (dua kiri) hadir pada sidang media selepas selesai Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AMIRUL SHAUFIQ, 19 MAC 2022.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga dari kanan), Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (dua kiri) hadir pada sidang media selepas selesai Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AMIRUL SHAUFIQ, 19 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya rakyat akan kembali menyokong Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) susulan sentiman penolakan pembangkang pada dua Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini.

Presiden UMNO itu berkata, terdapat desakan daripada dalam dan luar parti yang mahu UMNO dan BN kembali berkuasa kerana mereka sudah serik dengan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang kucar-kacir sebelum ini.

“Kami merasakan kestabilan politik harus diwujudkan semula di negara kita, oleh kerana sesebuah parti harus menjadi tulang belakang kepada sesebuah kerajaan maka parti itu perlu dominan.

“Dominan itu kita tawarkan sebagaimana dalam PRN Melaka dan Johor, walaupun cerminan kepada keputusan dalam PRN itu tidak boleh dijadikan sebagai satu penanda aras kepada PRU15 bilapun ianya diadakan.

“Namun kita merasakan dengan prinsip yang ada pada UMNO dan BN serta kesepakatan yang ada dan perjalanan jentera, kami yakin rakyat mahu kembali semula dokongan kepada UMNO.

“Biarpun kita tahu parti pembangkang mahu mewujudkan gabungan baharu tetapi kedua-dua gabungan ini mempunyai rekod yang agak buruk, katanya katanya dalam sidang media selepas penggulungan Presiden di Perhimpunan Agung UMNO (PAU2021), hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan tiga Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid, dan Datuk Seri Khaled Nordin.

Ditanya mengenai calon Perdana Menteri BN, Ahmad Zahid berkata parti itu akan memutuskan calon mutlak bagi gabungan itu setelah tiba masanya kelak.

“Bila masa tiba… kita ada calon banyak di sini. Di Johor bila poster boy BN Datuk Hasni Mohammad tapi semua orang tahu kesudahannya jadi saya fikir menjelang PRU akan datang, saya tidak fikir isu poster boy kita akan ketengahkan sekarang.

“Itu adalah mengikut ketetapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk buat keputusan nanti. Ini akan dibincangkan antara kami nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette