Peluru berpandu hypersonic Kinzhal kali pertama digunakan Rusia untuk menyerang depot senjata Ukraine. foto Russian Defense Ministry

LONDON – Rusia menggunakan peluru berpandu hipersonik Kinzhal (Dagger) untuk memusnahkan depot senjata besar di wilayah Ivano-Frankivsk barat Ukraine.

Agensi berita Interfax Rusia berkata, ia adalah kali pertama Rusia menggunakan sistem Kinzhal hipersonik sejak ia menghantar tenteranya ke Ukraine pada 24 Februari lalu.

Jurucakap Kementerian Pertahanan, Igor Konashenkov dalam taklimat berkata, depot bawah tanah yang dibedil dengan sistem Kinzhal pada hari Jumaat menempatkan peluru berpandu dan peluru pesawat Ukraine, menurut rakaman taklimat yang dikongsi oleh agensi berita Rusia.

Reuters tidak dapat mengesahkan kenyataan Konashenkov.

Jurucakap tentera udara Ukraine mengesahkan serangan peluru berpandu Rusia ke atas Delyatyn di wilayah Ivano-Frankivsk pada hari Jumaat, tanpa memberikan butiran lanjut.

Rusia berbangga dengan senjata canggihnya dan Presiden Rusia Vladimir Putin pada bulan Disember lalu berkata, negara itu adalah peneraju global dalam peluru berpandu hipersonik, yang kelajuan, kebolehgerakan dan ketinggiannya menjadikan ia sukar untuk dikesan dan dipintas.

Peluru berpandu Kinzhal adalah sebahagian daripada pelbagai senjata yang diperkenalkan pada 2018.

Konashenkov pada hari Sabtu berkata, tentera Rusia juga telah memusnahkan radio tentera dan pusat peninjauan berhampiran bandar pelabuhan Odessa menggunakan sistem peluru berpandu pantai Bastion.

Moscow merujuk kepada tindakannya di Ukraine sebagai “operasi khas” untuk melemahkan keupayaan ketenteraan jirannya di selatan dan menghapuskan individu yang digelar nasionalis berbahaya.

Tentera Ukraine telah melancarkan tentangan sengit dan negara-negara Barat telah mengenakan sekatan menyeluruh ke atas Rusia dalam usaha memaksanya untuk menarik balik tenteranya. – Reuters (https://www.reuters.com/world/europe/russia-uses-hypersonic-missiles-strike-ukraine-arms-depot-2022-03-19/)