Nazri Nasir.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengumumkan Nazri Nasir sebagai jurulatih interim skuad senior bagi menghadapi kejohanan persahabatan antarabangsa melibatkan 3 negara yang diadakan di Singapura pada 23 hingga 29 Mac ini.

Ini merupakan kali kedua beliau membimbing skuad Singa selepas kejohanan Piala Airmarine yang diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 2019.

Singapura ketika itu mengalahkan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe dengan jaringan 1-0 dan seri 1-1 dengan Oman sebelum tewas 4-5 melalui sepakan penalti.

“Ia sentiasa menjadi satu penghormatan untuk dipilih memimpin pasukan kebangsaan untuk mana-mana perlawanan antarabangsa. Saya bekerja rapat dengan bekas jurulatih, Tatsuma Yoshida sebagai penolongnya ketika beliau menyertai pasukan kami pada 2019.

“Saya berharap dapat membawa falsafah dan gaya permainan sama yang Tatsuma terapkan dalam pemain dan pada masa yang sama, melaksanakan taktik dan strategi saya sendiri bagi membantu pasukan di Siri Tiga Negara ini,” katanya dalam kenyataan rasmi FAS, semalam.

Singapura juga mengumumkan senarai 26 pemain yang dipanggil ke kem latihan skuad kebangsaan da antara nama yang terpilih ialah pemain pertahanan Selangor, Safuwan Baharudin dan dua bekas pemain Liga Malaysia iaitu Anumanthan Kumar serta Hariss Harun.

FAS juga, berkata jurulatih baharu Singapura dijangka dilantik pada bulan April ini dan tugasan pertamanya aialah kelayakan Piala Asia pada 8 hingga 14 Jun ini menentang tuan rumah Kyrgyzstan, Tajikistan dan Myanmar.

Pasukan itu dijadualkan menentang Malaysia pada 26 Mac dan Filipina pada 29 Mac, manakala skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon berdepan The Azkals pada 23 Mac.

Sebanyak 15,000 penyokong dibenarkan hadir menonton kedua-dua perlawanan yang melibatkan pasukan Singapura manakala had bilangan penonton bagi perlawanan antara Malaysia menentang Filipina adalah 5,000 orang.

Semua perlawanan ini akan berlangsung di Stadium Nasional Singapura bermula pada pukul 8 malam. – MalaysiaGazette