Ahmad Zahid Hamidi UMNO Anti-Party Hopping Bill law Cabinet PM Ismail Sabri
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin dan percaya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang berakhir hari ini adalah perhimpunan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden UMNO berkata, keyakinan itu dibuat berdasarkan ucapan penggulungan Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menjawab usul dan persoalan dibangkitkan para perwakilan mengenai PRU-15.

“Pada hemat saya, kalau membaca (mendengar) apa yang disebutkan (ucapan) oleh Perdana Menteri tadi, saya yakin, saya bukan Nujum Pak Belalang tetapi dengan pengumuman yang dibuat olehnya itu mungkin ini merupakan PAU terakhir sebelum PRU.

“Dan sebagai PAU terakhir, mari kita sama-sama berdoa… Insya-Allah saya mengimankan bacaan doa ini agar PAU kita ini mendapat hidayah Allah Taala.

“Ya Allah, Ya Tuhan kami, sempena bulan Syaaban yang penuh barakah, izinkan kami memulakan nekad dan langkah, berikan kami kekuatan tanpa lelah dalam usaha untuk kami menebus maruah. Di bahu kami terpikul segunung amanah demi agama, bangsa dan negara bertuah…,”.

Beliau membaca doakan itu sebagai mengakhiri ucapan penggulungannya pada PAU 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini petang ini.

Terdahulu, Ismail Sabri ketika menggulung perbahasan usul perwakilan menyatakan, UMNO tidak akan tunggu walaupun satu saat untuk bubar Parlimen bagi membolehkan PRU-15 diadakan.

Beliau meminta ahli memberi peluang kepadanya bersama Presiden, Timbalan dan Naib atau top five untuk bincang mengenai PRU-15.

Katanya, selepas perbincangan selesai, mereka akan membawanya ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan jemaah Kabinet.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid mengesahkan top five yang melibatkan beliau, timbalan dan tiga naib bertemu setiap bulan bagi membincangkan hal dan isu semasa mengenai parti.

Katanya, hasil perbincangan itu sengaja tidak didedahkan kepada sesiapa sahaja sebab ada perkara yang jika didedahkan mungkin menimbulkan pelbagai tafsiran.

“Sebab itu, ada rakan dalam dunia politik ramai ingin tahu tetapi kita rasakan hal perbincangan ini tidak perlu diberitahu walaupun kita tahu ramai yang sibuk hendak tahu,” katanya.

Ahmad Zahid turut menjelaskan, beliau yang mencadangkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Katanya, selepas mesyuarat itu, beliau berjumpa dengan 43 Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan mencalonkan satu nama iaitu Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PM janji tak akan lengahkan usaha bubar Parlimen