Ismail Sabri
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob . Foto AMIRUL SHAUFIQ 21 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Pembayaran Fasa 1 Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang membabitkan 8.6 juta penerima dengan perunyukan RM 2 bilion akan dilakukan mulai 28 Mac ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka akan menerima RM100 hingga RM300 berdasarkan kelayakan setiap penerima merangkumi 4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang.

“Pembayaran ini juga bagi meringankan beban kewangan rakyat terutamanya dalam menyambut bulan Ramadan 1443 Hijrah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Pembayaran isi rumah, warga emas dan individu bujang akan terus dikreditkan ke akaun bank antara 28 Mac hingga 8 April ini.

Bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank, termasuk di Sabah dan Sarawak pembayaran akan dilakukan mulai 30 Mac ini melalui cawangan Bank Simpanan
Nasional (BSN) dengan BSN akan mengeluarkan panduan prosedur operasi standard SOP dari semasa ke semasa.

Menurut Perdana Menteri, bagi memastikan program BKM disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 2 Mei 2022 untuk tempoh sebulan.

Tambah beliau, proses itu adalah bagi mempertimbangkan semula permohonan yang tidak diluluskan dengan memberi ruang untuk mengemukakan rayuan beserta dokumen
yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Katanya, kerajaan sentiasa peka dengan keperluan semasa dan akan terus komited
dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar. – MalaysiaGazette