Mohamad Amirul Arif dan Lydia Jin Wen memenangi pingat emas untuk UTM dalam kejohanan Olahraga IPT 2022 Sirkit 1 di Stadium Olahraga Mount Austin, Johor.

JOHOR BAHRU – Mohammad Amirul Arif Mohd Azri dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengungguli acara olahraga 1,500 meter Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 Sirkit 1 di Stadium Olahraga Mount Austin, dekat sini, hari ini

Amirul mencatatkan masa 4 minit 12 saat bagi meraih pingat emas untuk mengenepikan Muhammad Shahril Aiman Mohd Noor dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Muhammad Ariff Najmie Rosli dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Muhammad Shahril Aiman mencatatkan masa 4 minit 24 saat diikuti Muhammad Ariff dengan catatan masa 4 minit 31 saat untuk meraih pingat gangsa.

Sementara itu, Mohammad Amirul Arif juga menjadi antara atlet terawal melayakkan diri dalam acara 1,500m untuk temasya Sukan SEA di Vietnam pertengahan Mei ini memberitahu, beliau akan menyertai Kejohanan KL All Comers pada hujung minggu ini, sebelum menumpukan latihan bagi menghadapi kejohanan terbesar ASEAN itu.

“Saya dan jurulatih akan mengadakan latihan 10 hari di Cameron Highlands sebelum mendaftar masuk ke latihan pusat Majlis Sukan Negara (MSN) selepas itu bagi persediaan ke Sukan SEA Vietnam.

“Ini adalah Sukan SEA pertama saya dengan pelari lain lebih berpengalaman. Bagaimanapun saya menyasarkan untuk memenangi pingat apa jua warna pada penyertaan sulung saya nanti,” katanya.

Selain itu, UTM turut meraih emas dalam acara 1,500m wanita menerusi Lydia Jin Wen, 21, yang mencatatkan masa 5 minit 51 saat.

Pelari Universiti Putra Malaysia (UPM), Afnan Nafisah Nor Mohamed meraih pingat perak dengan catatan masa 6 minit 22 saat manakala wakil UIAM, Nur Fatehah Ariesha Mohd Shahriman meraoh pingat gangsa dengan catatan masa 6 minit 32 saat.

Menurut Lydia, sasaran emas sememangnya menjadi tumpuan beliau dalam kejohanan itu.

“Selepas ini latihan saya akan dilakukan seperti biasa, cuma jika ada kelas mungkin sesi latihan dipendekkan masanya,” katanya. – MalaysiaGazette