Exco Hal Ehwal Wanita Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Kalsom Nordin (tengah) pada Program Wanita Bersatu Mencegah Jenayah Peringkat Negeri Melaka, di Banda Hilir, Melaka hari ini.

MELAKA – Langkah pembekuan akaun bank bekas suami yang ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri disifatkan satu pengiktirafan kepada golongan wanita di negara ini.

Exco Hal Ehwal Wanita Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Kalsom Nordin berkata, tindakan itu dilihat menjadi penyelesaian terbaik untuk membela nasib golongan itu sama ada berstatus janda atau ibu tunggal.

“Sebenarnya, saya melihat langkah ini juga memberi amaran kepada kaum lelaki agar sentiasa melunaskan tanggungjawab khususnya melibatkan nafkah selepas bercerai.

“Jadi ini satu pengiktirafan yang baik kepada golongan wanita kerana banyak kes apabila melibatkan penceraian, hak-hak wanita termasuk nafkah tidak diberikan secara adil,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Wanita Bersatu Mencegah Jenayah Peringkat Negeri Melaka, di Banda Hilir di sini hari ini.

Hadir sama Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah dan Pengerusi Perhubungan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Melaka, Edison Chan Tian Han.

Dalam perkembangan lain Kalsom berkata, sebanyak 292 kes keganasan rumah tangga (KRT) direkodkan di negeri ini sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Angka itu bagaimanapun jelasnya menunjukkan penurunan sebanyak 21.5 peratus berbanding tahun 2020.

“Pada tahun lalu kita merekodkan sebanyak 292 kes KRT, manakala pada 2022, 349 kes dilaporkan.

“Kes jenayah terhadap golongan wanita di negeri ini juga menurun sebanyak 21.5 peratus pada tahun lalu membabitkan kesalahan rogol, cabul, liwat, seksual terhadap kanak-Kanak, kesalahan di bawah Seksyen 509 dan 292 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan akaun bank bekas suami akan dibekukan jika mereka ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri.

Perkara itu antara yang diputuskan kerajaan sebagai menghargai dan menjaga kepentingan wanita, khususnya yang diceraikan suami.

Selain itu, kerajaan akan mengarahkan bank untuk menyalurkan bayaran yang ditetapkan mahkamah secara terus kepada wanita.- MalaysiaGazette