Dua selamat manakala seorang lagi dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan antara Pulau Rimah dan Pulau Kendi di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Dua selamat manakala seorang lagi dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan antara Pulau Rimah dan Pulau Kendi di sini hari ini.

Kejadian pukul 5.30 pagi itu membabitkan seorang lelaki tempatan dan dua lelaki warga Thailand yang terdiri daripada tekong dan dua kru.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat melalui Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi mengenai kejadian pada jam 8.15 pagi sebelum operasi mencari dan menyelamat diatur gerak.  

“Bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Batu Maung itu dinaiki mereka bertiga sebelum masing-masing terjatuh dalam laut akibat hujan lebat serta laut bergelora.

“Dua daripada mereka yang terdiri daripada lelaki tempatan dan Thailand berjaya diselamatkan namun tekong bot itu masih belum dijumpai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Abd Razak, kedua-dua mangsa yang terselamat berada dalam keadaan baik dan pihaknya sedang mendapatkan keterangan berhubung kejadian.

“Kerja-kerja pencarian sedang giat dilakukan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Polis Marin, Agensi Pertahanan Awam serta nelayan tempatan.

“APMM menasihati supaya setiap komuniti nelayan mengutamakan keselamatan di laut termasuk menyediakan peralatan sebelum ke laut dan bot sentiasa berada di dalam keadaan yang baik sebagai persediaan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

“Pemilik bot juga dinasihati supaya berhati-hati dan menyemak ramalan kaji cuaca sebelum turun ke laut,” ujarnya. – MalaysiaGazette