Noh Omar

SHAH ALAM – UMNO dan Barisan Nasional (BN) optimis untuk memperolehi kemenangan dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum (PRU15) berdasarkan corak sokongan semakin pulih pada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan sebelum ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menjangka UMNO-BN mempunyai peluang cerah untuk merampas beberapa negeri susulan penerimaan rakyat terhadap parti Melayu itu semakin baik.

“Kalau tengok PRN terutama Melaka dan Johor kita tengok mood rakyat semakin kembali kepada BN.

“Rakyat boleh menilai, semua parti telah diberi peluang menjadi Perdana Menteri, sama ada Pakatan Harapan (PH) mahupun Bersatu dan hari ini giliran BN pula menjadi Perdana Menteri.

“Kita lihat keputusan PRN nampaknya rakyat akan kembali kepada BN kerana kita tahu 2014 janji-janji manis yang ditaburkan PH tidak dapat dilaksanakan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Tambahnya, kemerosotan kerusi yang diperolehi PH dalam PRN Melaka dan Johor membuktikan rakyat bijak menilai parti yang mana satu mampu menunaikan janji pilihan raya apabila mendapat mandat.

“Jadi pembangkang lain, saya jadi pembangkang seronok, rupanya jadi pembangkang 17 bulan lalu cukup seronok.

“Balun saja, apa ada hal, cakap saja, sekarang bila dia jadi kerajaan, cuba buatlah, jadi cakap tak serupa bikin.

“Saya akui paling mudah kerja jadi pembangkang, berilah cadangan yang menarik minat rakyat, perjuangkan hak rakyat.

“Masalahnya bila tiada pengalaman jadi kerajaan, mereka boleh cakap apa sahaja,” katanya.

Katanya lagi, keadaan BN ketika menjadi pembangkang selama 17 bulan lalu tidak seperti PH kerana apa pun cadangan mahupun janji yang ditawarkan kepada rakyat berasaskan pengalaman.

“Sebab itu bila saya jadi pembangkang, bila saya cadang saya tahu, kita ada pengalaman.

“Bila kita kembali jadi kerajaan macam saya hari ini kembali jadi Menteri, saya tahu apa yang saya boleh buat.

“Saya tak boleh janji kalau kerajaan kena buat yang luar biasa, bagi bantuan yang luar biasa, saya tak boleh, kita kena realiti.

“Rakyat boleh lihat sebenarnya jadi pembangkang lebih mudah, kalau kita jadi kerajaan tak boleh tunjuk prestasi, rakyat sudah mula tolak,” katanya. – MalaysiaGazette