Pelbagai jenis dadah yang dirampas polis Kuala Langat selepas mencekup 17 tokan dadah dalam Ops Tapis Khas di Banting.

KUALA LUMPUR – Seorang penjawat awam merupakan antara 17 individu yang ditahan dalam serbuan Operasi Tapis Khas di sekitar di sekitar daerah Hulu Langat kerana disyaki menjadi tokan dadah.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, Ops Tapis Khas yang dilaksanakan pada 19 dan 20 Mac lalu, seramai tiga Pegawai dan sembilan anggota terlibat dalam operasi yang diadakan pada Sabtu dan Ahad lalu.

“Daripada 17 suspek itu, lima tangkapan di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952, lima suspek bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952, tiga tangkapan di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952;satu tangkapan mengikut Seksyen 6 ADB, dua tangkapan bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan akhirnya satu tangkapan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Tangkapan kes menarik pertama membabitkan suspek seorang penjawat awam berumur
37 tahun dan semasa serbuan polis merampas tujuh paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu 5.20 gram dan sepaket plastik lutsinar berisi ceraian daun kering ganja seberat 0.80 gram serta satu alat penimbang digital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Ridhwan, suspek disiasat di bawah Seksyen 39A (1) ADB 1952 dan Seksyen 6 ADB 1952.

Tambah beliau, penjawat awam berkenaan juga mempunyai dua rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 pada tahun 2012 dan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 pada tahun 2009 dan suspek bekerja sebagai Penjawat Awam di sektor awam di Kuala Langat.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, tangkapan kedua membabitkan lima lelaki tempatan di bawah Seksyen 39B ADB 1952 semasa serbuan mengejut di kebun kelapa sawit di kawasan Telok Panglima Garang, Selangor.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek berjaya merampas 21 paket plastik lutsinar dan satu tiub straw berisi bahan disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 31.6 gram beserta tiga paket plastik lutsinar dan dan satu tiub straw berisi bahan disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 5.3 gram.

“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman mati atau hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 sebatan.

“Semasa Ops Tapis Khas ini dijalankan selama tempoh dua hari itu,pasukan narkotik juga telah berjaya menangkap seorang lagi lelaki tempatan berumur 25 tahun dan merampas sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z yang dilaporkan hilang pada tahun 2019 dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan suspek berkenaan mempunyai satu rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 pada tahun 2022.

Jumlah rampasan nilai dadah sepanjang Ops Tapis Khas ini dijalankan adalah RM3,900 dan kesemua suspek berusia lingkungan antara 25 hingga 60 tahun, ujarnya.

“Kesemua suspek kini ditahan di Lokap Balai Polis Banting Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk siasatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette