Pemasangan meter pintar dijalankan oleh kontraktor yang dilantik TNB, - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 3,246 individu yang menamatkan latihan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Program Kemahiran Semula berjaya mendapatkan pekerjaan.

Secara keseluruhan, sebanyak 4,618 individu yang mengikuti program berkenaan sejak ia diperkenalkan pada tahun 2020.

Pengarah Urusan TNB Integrated Learning Solutions (ILSAS), Siti Sarah Johana Mohd Said berkata, pihaknya yakin tahun ini seramai 5,000 orang akan dapat dibantu mendapatkan pekerjaan menerusi menerusi program latihan tersebut.

Sasaran berkenaan untuk tempoh tiga tahun sejak ia diperkenalkan pada 2020.

Siti Sarah Johana Mohd Said (kiri)

 

 

 

 

 

 

“Program ini akan dapat mengisi 17,500 jawatan bagi bidang berkaitan menjelang 2024,” katanya ketika sesi taklimat Program Kemahiran Semula TNB Setiap Tahun bersama media yang diadakan menerusi dalam talian, hari ini.

Jelas beliau, program ini dikhususnya untuk membantu memulihkan ekonomi akibat pandemik Covid-19,  juga memberi tajaan kepada individu yang hilang pekerjaan akibat Covid-19 untuk mendalami kemahiran dalam bidang elektrik.

“TNB akan menyediakan perkhidmatan pengambilan pekerjaan bagi pihak syarikat. Ini akan membantu perniagaan menjimatkan kos, meningkatkan kualiti pengambilan pekerja dan mengurangkan pusing ganti pekerja,” tambahnya.

Siti Sarah berkata, sebanyak lima program khas yang disediakan TNB menerusi program berkenaan iaitu kursus pemasangan panel solar, pemasangan Meter Pintar (Smart Meter), pengoperasian, penyelenggaran sistem kuasa termasuklah mengendali elektrik voltan sederhana dan rendah.

Terbuka kepada semua warganegara Malaysia, Program Kemahiran Semula ini hanya berlangsung selama lima hingga 10 hari di dua buah fasiliti TNB iaitu ILSAS dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) yang terletak di Kampus Muadzam Shah.

Mengulas lanjut Siti Sarah tidak menolak program latihan berkenaan akan dilanjutkan sekiranya mendapat sambutan yang menggalakkan.- MalaysiaGazette