PDRM FC dibimbing Wan Rohaimi Wan Ismail dalam Liga Premier musim ini.

KUALA LUMPUR – Kemenangan PDRM FC ke atas Perak FC 3-1 dalam aksi Liga Premier kelmarin menjadi tonik terbaik pasukan selepas tiga minggu berdepan persiapan yang kurang memuaskan susulan penularan Covid-19.

Jelas Ketua Jurulatih PDRM FC, Wan Rohaimi Wan Ismail, persediaan pasukan sedikit terjejas selepas beberapa pemain dan pegawai dijangkiti virus itu sehingga terpaksa berdepan dua penundaan perlawanan iaitu aksi Liga Premier berdepan Kuching City FC dan perlawanan Piala FA menentang Perlis United FC.

Namun, beliau memuji kesungguhan semua pemain untuk memburu kemenangan dan tiga mata yang diraih semalam cukup penting untuk mereka memulakan saingan Liga Premier dengan lebih cemerlang pada musim ini.

Bagaimanapun, Rohaimi menegaskan rentak permainan masih perlu diperbaiki memandangkan perlawanan semalam adalah aksi kompetitif pertama yang dihadapi mereka selepas hampir sebulan menanti.

“Pertama sekali saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua pemain atas usaha yang sangat saya hargai sebab sebenarnya persiapan pasukan sejak tiga minggu ini agak terganggu dengan Covid-19 dan juga cuaca di Kuala Lumpur yang tidak menentu sebelum ini.

“Jadi apabila persiapan sedikit terganggu, rentak sebenar perlawanan pun hilang dan disebabkan itu pemain dilihat masih tercari-cari rentak pada separuh masa pertama.

“Alhamdulillah di separuh masa kedua, kita dapat rentak yang diinginkan dan gol pertama pasukan menjadi tonik kebangkitan, jadi sekali lagi saya beri pujian kepada anak buah.

“Sebelum ini ada juga dua hingga tiga pemain yang cedera, tetapi Alhamdulillah dapat kawal semuanya dan kita pun sebenarnya kurang aksi persahabatan sebelum ini disebabkan dengan cuaca hujan, jadi saya bersyukur kita menang”, jelasnya.

PDRM yang menang dengan keputusan 3-1 ke atas Perak akan bertemu Perlis United pada 23 Mac ini bagi aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Satu lagi perlawanan Piala FA pada malam ini turut membabitkan aksi antara Sri Pahang FC dan Manjung City FC.

Antara keputusan lain aksi Liga Premier pada Sabtu lalu menyaksikan Selangor FC 2 meraih kemenangan 1-0 ke atas UiTM FC, Skuad Projek FAM-MSN tewas dengan keputusan 0-1 kepada Kelantan FC manakala Johor Darul Ta’zim (JDT II) pula menang 2-0 ke atas Kelantan United FC. – MalaysiaGazette