Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang awak-awak warganegara Thailand dipercayai lemas selepas terjatuh dari bot nelayan ke dalam Sungai Kuantan semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai sebaik sahaja bot tengah mengundur.

Polis menerima maklum kejadian pada pukul 9.52 pagi dan lokasi terakhir mangsa dikatakan terjatuh ke dalam sungai berhampiran Kompleks Lembaga Keajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kemunting.

Siasatan awal dilokasi kejadian mangsa merupakan lelaki warganegara Thailand bersama lima orang awak-awak sedang bekerja mengisi air batu di atas bot kelas A.

“Mangsa didapati telah terjatuh ke dalam sungai sebaik sahaja bot tengah mengundur. Pencarian awal telah dilakukan oleh rakan rakan mangsa namun mangsa gagal ditemui.

“Operasi mencari dan menyelamat dimulakan semalam di kawasan jeti LKIM dan kawasan berhampiran mencari mangsa yang berusia 29 tahun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Seramai 34 anggota menyelamat terlibat dalam operasi melibatkan polis Diraja Malaysia (PDRM), polis Marin, jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Pahang, Angkatan Penguatkuasaan Maritim (APMM) dan bantuan nelayan Kompleks LKIM.

Katanya siasatan dan operasi diteruskan bagi meneruskan pencarian. – MalaysiaGazette