Gambar hiasan. foto Reuters

MELBOURNE – Harga minyak diniagakan lebih tinggi hari ini, memadamkan kerugian daripada sesi sebelumnya, selepas data industri menunjukkan stok minyak mentah Amerika Syarikat jatuh minggu lalu, menunjukkan betapa ketatnya bekalan global di tengah-tengah terjejasnya pengeluaran Rusia akibat sekatan ekonomi ke atas Moscow.

Niaga hadapan minyak mentah Brent naik AS$1.06, atau 0.9%, kepada AS$116.54 setong pada 0213 GMT, selepas jatuh AS$0.14 pada sesi sebelumnya.

Manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS naik AS$0.87 atau 0.8%, kepada AS$110.14 setong, selepas susut AS$0.36 pada hari Selasa.

Walaupun harga merosot pada hari Selasa kerana nampaknya Kesatuan Eropah tidak mungkin bersetuju dengan pengharaman minyak Rusia, pasaran masih bimbang mengenai prospek sekatan lanjut ke atas Rusia apabila Presiden Joe Biden bertemu dengan pemimpin Eropah pada hari Khamis untuk membincangkan pencerobohan Rusia.

Data terkini daripada kumpulan industri American Petroleum Institute (API) menunjukkan stok minyak mentah jatuh sebanyak 4.3 juta tong bagi minggu berakhir 18 Mac, menurut sumber pasaran, menolak ramalan penganalisis yang mengunjurkan peningkatan.

Sembilan penganalisis yang ditinjau oleh Reuters secara purata menganggarkan inventori minyak mentah meningkat sebanyak 100,000 tong dalam tempoh seminggu sehingga 18 Mac 2022. – Reuters