Gambar hiasan

 

SERINGNYA pabila ada, ia tidak menghargai sesuatu itu dengan selayaknya. Pabila tiada, waktu itulah akan terbit kata-kata penyesalan yang seakan tiada berkesudahan. Ketika diingatkan dalam sesuatu hal, acap kali dinafikan segala yang diperbuat itu. Paling tidak, rendah hatilah memohon kemaafan dan mengaku salah dengan apa yang telah terjadi.

Namun, situasi itu jarang sekali dapat dilihat jika pada diri seseorang itu punya sifat sombong dan ego yang tinggi. Segala yang diingatkan sering disalah erti walau secara terang dan jelas apalagi disampaikan secara baik. Barangkali di sekeliling kita ada sahaja yang berperilaku sebegini dan secara sedar atau tidak, ia merasakan selalu benar walaupun telah melakukan kesilapan berulang kali.

Talam dua muka

Pabila berdepan dengan orang lain yang bukan biasa seperti pasangan, anak-anak, ibu bapa, adik beradik atau keluarganya, dengan mudahnya bermanis muka, cukup santun dan tinggi pekerti. Hingga sikap ini bolehlah diumpamakan seperti pijak semut tak mati. Baik dan adabnya disanjung hingga menjadi orang yang dihormati.

Hakikat dan realiti di sebaliknya, hanya mereka yang terdekat mengetahui dan Allah Subhanahuwataala itu sudah pasti menilai gerak-geri yang dilakukan. Dalam pada itu, sebahagian masyarakat kita mudah memberi ruang dan peluang terhadap
seseorang untuk berubah.

Sering terdengar kata, “Mana tau dia dah insaf dan bertaubat ke..” Walau hakikat yang tersirat itu hanya Allah Yang Maha Mengetahui, kita sebagai manusia haruslah terus berhati-hati dalam setiap kesempatan yang diberikan.

Tidak serik-serik menyakiti

Lihat sahaja dengan isu semasa negara kini, yang menjadi tular hingga stesen televisyen tempatan mengundangnya, khabarnya sudah meyesali keterlanjuran yang dilakukannya.  Namun isu baru yang dicetuskan hingga menjadi tular lagi seperti mempersendakan orang kelainan upaya (OKU), terus dikecam.

Jika dilihat pada awalnya, ia seakan telah insaf dan mengakui kesilapan, tetapi dibuat lagi perkara yang tidak sewajarnya. Apakah ‘budaya ‘ itu akan menjadi biasa dalam masyarakat di negara ini?

Kita sebagai manusia yang mengetahui jangan terlalu memberikan ruang apalagi kesempatan dengan kongsikan segala keburukan yang dilakukan itu. Janganlah menjadi mata rantai kejahatan yang dilakukan seseorang itu.

Seharusnya kita abaikan manusia-manusia yang toksik, semata-mata ingin meraih populariti apalagi simpati, tetapi lupa banyak jiwa dan hati manusia yang lain telah disakiti kerana perbuatannya.

Barangkali di lingkungan kita tentu ada manusia sebegini. Tidak terkecuali, ada yang mempamerkan  sesuatu atas nama agama, tetapi hakikat intinya bersalut kejahatan dan kemaksiatan. Betapa banyaknya orang yang baik-baik tertipu dengan segala ‘persembahannya.’

Disegerakan balasanNya

Memang tidak mudah untuk menuding apatah lagi melabel seseorang itu manusia toksik, namun paling tidak, ia perlu diingatkan agar tidak terus dilalaikan atas kepalsuan yang dilakukannya.

Mungkin saja semua itu juga boleh diselidiki bagaimana dirinya dengan pasangan, anak-anak, ibu bapa, keluarganya, mahupun saudara maranya yang terdekat. Cari tahulah jika itu perlu.

Kata akhir yang selayaknya untuk manusia sebegini ialah, moga Allah balas segalanya dengan segera, agar manusia lainnya tidak terus dikhianati atau ditipu dengan segala topeng-topeng yang dipamerkannya.

Apatah lagi jika manusia yang seperti ini digelar ulama, ustaz, imam mahupun orang yang disanjung dalam masyarakat. Dalam apa-apa hal dan situasi pun, kita perlu berhati-hati agar tidak terus dikhianati.

Bukan tidak boleh memberi ruang dan peluang kepada seseorang itu untuk berubah, tetapi berwaspadalah agar ia menjadi pengajaran dan sempadan buat diri agar tidak terus ‘ditipu hidup-hidup’ sebagaimana orang kata apabila selalu terkena dengan seseorang itu.

Moga kita terjauh daripada menjadi manusia yang punyai sifat toksik sebegini, insya-Allah.

Atriza Umar
Pegawai Penyiaran dan Komunikasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia