Istana Budaya, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja menggantikan keseluruhan bumbung Istana Budaya yang kelihatan kusam dan pudar dijangka bermula pada tahun hadapan.

Menurut Unit Perhubungan Awam, Bahagian Pemasaran dan Pengurusan Panggung Istana Budaya, pihaknya telah menerima peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi projek menggantikan keseluruhan bumbung panggung berprestij itu menerusi Rancangan Malaysia Ke-12.

“Berkaitan keadaan bumbung bangunan panggung Istana Budaya yang kelihatan kusam dan pudar, ia disebabkan pelbagai faktor antaranya usia bahan yang melebihi 20 tahun, cuaca dan kos penyelenggaraan yang meningkat setiap tahun.

“Projek ini (menggantikan bumbung) sedang dalam proses penelitian dari segi reka bentuk, bahan dan lain-lain yang berkaitan oleh pakar dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia selaku agensi pelaksana yang mana perancangan untuk kerja-kerja penggantian keseluruhan bumbung ini dimulakan pada tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambahnya, Istana Budaya juga sentiasa menjalankan penyelenggaraan secara berkala meliputi keseluruhan bangunan dan landskap termasuk bumbung sebagai mengutamakan aspek keselamatan, keselesaan serta kesihatan pengunjung.

Katanya, cabaran utama yang dihadapi oleh Istana Budaya sejak pandemik Covid-19 melanda negara adalah dalam menarik semula minat penonton untuk menyemarakkan program-program pementasan secara fizikal bermula tahun ini.

“Pelbagai aktiviti promosi dilakukan bermula awal tahun ini antaranya hebahan media, lawatan ke pusat persembahan pentas dan kawasan hotspot yang ada di sekitar Lembah Klang serta melakukan pengiklanan dalam talian.

“Sepanjang tempoh pandemik sehingga hari ini, Istana Budaya giat melaksanakan aktiviti promosi jabatan termasuk video persembahan, tutorial berkaitan teater, muzik dan tari serta hebahan poster-poster berkaitan di dalam media sosial rasmi Istana Budaya – platform Facebook, Instagram, YouTube dan TikTok,” ujarnya.

Katanya, pada masa sama, Istana Budaya turut merangka strategi pemasaran melibatkan pembabitan sektor korporat, pendidikan dan pemain industri yang bakal dilaksanakan secara berperingkat.

“Bermula penghujung tahun lalu, Istana Budaya telah menguar-uarkan kepada syarikat penganjur luar dan pertubuhan seni budaya untuk mengadakan persembahan di pentas Istana Budaya bagi tahun 2022 dan seterusnya.

“Sehingga hari ini, sebanyak 11 program anjuran syarikat luar yang meliputi kesemua genre utama seni persembahan pentas telah diluluskan setelah melalui proses tapisan bagi tujuan kawalan kualiti,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sepanjang tahun 2020, sejumlah 44 persembahan telah pun dirancang namun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac hanya membenarkan Istana Budaya melaksanakan sebanyak 10 program secara langsung manalaka tujuh lagi secara rakaman dalam tempoh lapan bulan yang dibenarkan.

Manakala tahun lalu pula, Istana Budaya berjaya melaksanakan sebanyak 11 program termasuk program yang dipentaskan oleh syarikat penganjur luar, namun tiada sebarang bayaran tiket atau sewaan panggung dikenakan bertujuan membantu penggiat industri yang terjejas.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan, Istana Budaya yang dahulunya gah dan bergemerlapan dengan pelbagai persembahan seni, kini dilihat sepi tidak berpengunjung.

Tinjauan juga mendapati panggung berprestij yang terletak di Jalan Tun Razak itu juga seolah-olah seperti rumah kosong yang ditinggalkan. – MalaysiaGazette