Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 23 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini agak sibuk dengan kehadiran wakil media dan penyokong parti seawal pukul 8 pagi lagi memandangkan kes-kes berprofil tinggi dibicarakan di sini hari ini.

Antaranya sambung bicara kes 1Malaysia Development (1MDB) sejak minggu lepas membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melibatkan dakwaan penyelewengan dana syarikat pelaburan strategik itu sebanyak RM2.3 bilion di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Pasukan pembelaan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan ketika ini sedang menyoal balas saksi ke-13, bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail berkaitan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) sebelum namanya di tukar kepada 1MDB.

Hari ini juga perbicaraan kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang ditangguh pada Disember tahun lepas.

Kali terakhir perbicaraan, saksi utama kes rasuah itu, ahli  perniagaan, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mendedahkan Guan Eng yang merupakan Ahli Parlimen Bagan (DAP) didakwa meminta 10 peratus daripada keuntungan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di negeri itu.

Dakwa saksi ke-23 itu, wang rasuah berjumlah 10 peratus itu adalah daripada keuntungan yang perlu diberikan kepada Guan Eng apabila syarikatnya dianugerahkan projek berkenaan.

Dalam pada itu, Guan Eng hadir lebih awal pagi ini sekitar 8.50 pagi berbanding peguambelanya seperti RSN Rayer selain pemimpin parti DAP lain yang hadir seperti Datuk Ngeh Khoo Khas sekitar pukul 9.30 pagi.

Najib juga tiba sekitar waktu itu dan hampir bertembung dengan Rayer di perkarangan mahkamah.- MalaysiaGazette