Dua warga tempatan antara tujuh suspek jalankan kegiatan tipu dalam talian calling centre di kondo mewah mount kiara ditumpaskan polis kelmarin.

KUALA LUMPUR – Tindakan licik sindiket penipuan dalam talian yang menjadikan kondominium mewah sebagai markas pusat panggilan operasi kegiatan haram itu akhirnya terbongkar kelmarin.

Dua lelaki warga tempatan antara tujuh suspek yang disyaki dalang kegiatan penipuan dalam talian itu yang ditahan polis.

Ketua Polis daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pada 21 Mac lalu pihaknya dibantu oleh Pakar Analisa Media Sosial, Bahagian Siasatan Jenayah Siber & Multimedia (JSM) Bukit Aman telah menyerbu sebuah unit kondominium terletak di Mount Kiara.

“Hasil serbuan berjaya melakukan tangkapan ke atas tujuh suspek yang terdiri daripada dua lelaki tempatan, lima warga China termasuk dua perempuan kesemuanya berumur 19 hingga 25 tahun.

“Pemeriksaan lanjut ke dalam unit itu polis merampas tujuh unit Komputer riba, 28 telefon bimbit pelbagai jenama, tujuh papan kekunci, tujuh tetikus dan serangkai kunci rumah yang digunakan dalam kegiatan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Amihizam, kesemua suspek kini sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berdasarkan hasil semakan pakar juga mendapati terdapat unsur-unsur penipuan atas talian melalui media sosial Wechat.

“Kegiatan penipuan ini dipercayai menyasarkan mangsa dari negara China yang mana kesemua suspek menggunakan profil Wechat yang berbeza bagi tujuan penipuan.

“Jumlah profil Wechat yang akan dibuat setiap hari adalah lebih daripada 50 profil setiap seorang dan seterusnya data setiap kenalan mangsa akan dihantar ke dalam group whatsapp di mana ketua sindiket akan menjalankan proses seterusnya.

“Kesemua tangkapan tersebut merupakan pekerja sindiket yang menerima bayaran gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan dan kumpulan ini telah beroperasi sejak bulan Februari lalu dengan menjalankan tugas sebagai pegawai khidmat pelanggan,” tegasnya.

Kesemua suspek akan direman untuk membantu siasatan lanjut dan tindakan berlunaskan undang-undang.- MalaysiaGazette