domestic abuse attempt murder Cleaner, M. Paramasivam dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen Melaka hari ini.
Cleaner, M. Paramasivam was sentenced to three years in prison at the Melaka Sessions court today, Seorang pekerja pembersihan, M. Paramasivam dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen Melaka hari ini.

MELAKA – Padah cuba membunuh isterinya dengan mencekik, memukul dan menekup muka mangsa menggunakan bantal -seorang pekerja pembersihan dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Maziah Joary Tajudin, menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, M. Paramasivam, 49, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati telah melakukan cubaan bunuh terhadap isterinya M. Santhi, 48, dengan cara menekup muka mangsa menggunakan bantal.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan jika ia menyebabkan cedera hendaklah pemenjaraan yang boleh sampai 20 tahun mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga didapati dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dengan cara mencekik leher dan memukul mukanya.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000.

Manakala bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didapati telah menakutkan secara jenayah berbentuk ugutan secara lisan ‘mati lagi bagus’ dengan cara mengacukan pemutar skru terhadap mangsa isterinya.

Untuk kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tehel, Bemban Jasin, kira-kira jam 5 pagi 4 Februari 2020.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya meminta hukuman ringan daripada tarikh ditangkap iaitu 14 Februari 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin memohon agar hukuman berat mengambil kira keseriusan jenayah dilakukannya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun bagi pertuduhan pertama dan satu tahun masing-masing bagi pertuduhan kedua serta ketiga.

Kesemua hukuman penjara itu bagaimanapun diperintah berjalan serentak bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap. – MalaysiaGazette