annuar musa
Annuar Musa.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan tindakan pembangkang menolak usul kerajaan berkaitan pindaan Akta SOSMA di Dewan Rakyat hari ini sebagai petanda bahawa memorandum persefahaman yang dipersetujui antara kedua-dua pihak telah terbatal.

Dalam hantaran di laman Facebook, Annuar berkongsi intipati Perkara 3.3 (b) MoU antara pembangkang dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyebut bahawa Pakatan Harapan bersetuju untuk ‘mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam apa-apa usul yang dikemukakan oleh kerajaan.’

Dalam erti kata lain, menurut beliau, pembangkang berjanji tidak akan menolak usul kerajaan.

“Namun hari ini 23hb Mac 2022 pihak PH telah melanggar MOU tersebut, dengan secara mengejut meminta undi belah bagi, bagi satu usul yang dibawa oleh Menteri KDN, di mana pihak PH telah mengundi MENOLAK usul tersebut.

“Pada hemat saya, dengan tindakan itu, maka terbatal sudah MOU berkenaan,” katanya.

Menurut Annuar, ada hikmah di sebalik apa yang berlaku hari ini kerana perdana menteri kini bebas untuk membatal atau menggantung pelaksanaan MoU tersebut.

Perkembangan itu juga, katanya, akan memudahkan lagi tanggungjawab perdana menteri dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong melaksanakan mandat Perhimpunan Agung UMNI terutama berkaitan pembubaran Parlimen.

“Ianya juga membolehkan kita segerakan PRU, selari dgn keputusan PAU tempoh hari.

“Gantung MOU! Jom!… Kita buat persiapan dan bersedia untuk PRU 15,” katanya.

Petang tadi usul kerajaan untuk meminda Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 gagal apabila 86 ahli Parlimen mengundi tidak bersetuju berbanding 84 orang yang bersetuju.

Seramai 50 ahli Parlimen pula direkodkan sebagai tidak hadir ketika undian dijalankan.

Pindaan tersebut bagi membolehkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA yang akan berakhir 31 Julai ini dilanjutkan lima tahun lagi.

Sebelum ini kuat kuasa peruntukan akta yang digubal pada 2012 itu telah dilanjutkan pada 2017.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika membentangkan usul tersebut berkata, lanjutan kuat kuasa untuk tempoh lima tahun lagi itu perlu disertakan dengan lanjutan tempoh tahanan melebihi 28 hari.

Suasana di dalam Dewan Rakyat riuh dengan sorakan pembangkang yang melaungkan antara lain ‘Hidup Rakyat’ dan ‘Padan Muka’ ketika Speaker, Tan Sri Azhar Azizan Harun membacakan keputusan undi belah bahagi.

Dewan Rakyat yang menyaksikan usul kerajaan untuk meminda Akta SOSMA bagi – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. SOSMA itu untok kepentingan siapa??? . Rakyat atau negara? . Untok kepentingan negara kena korbankan kepentingan rakyat seperti cukai GST dilaksanakan oleh UMNO. . Kalau untok kepentingan rakyat kena korbankan negara seperti segala bantuan yang berbagai nama .BR1M bkm dan sebagainya berbilion PM Muhaidin lakukan untok rakyat. Lagi lama penahan risiko kematian dalam tahanan meningkat . Fikirkan lah .

  2. Bubarkan saja Parlimen supaya kerajaan tidak dibuli oleh pembangkang. Pembangkang kaki auta hanya pandai bercakap & ambil kesempatan kesusahan rakyat. Dah jadi kerajaan dulu pun hanya tukar nama.

Comments are closed.